Projek Jalan & Parit Konkrit Rumah Perdu Spak Dilaksana Secara Gotong-Royong
BETONG: Projek kerja-kerja membina jalan dan parit konkrit di Rumah Perdu Spak di sini akan dilaksanakan secara gotong-royong oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang berkenaan.
Pelaksanaan secara gotong-royong itu dipersetujui menerusi perbincangan penyelarasan projek yang melibatkan Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (Zon Sri Aman), Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPN), Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Betong, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Layar serta JKKK Rumah Perdu.
Projek berkenaan merupakan projek pertama di bawah Peruntukan Projek Mesra Rakyat (PMR) Parlimen Betong yang dilaksanakan menerusi kaedah gotong-royong.
Sebelum ini, ia dirancang untuk dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender oleh JKR Bahagian Betong sebagai agensi pelaksana, namun, proses berkenaan tidak dapat diteruskan berikutan ketiadaan kontraktor untuk melaksanakan projek tersebut.
Sehubungan itu, cadangan pelaksanaan secara gotong-royong telah dipersetujui bagi memastikan projek dapat dilaksanakan demi manfaat penduduk.
Skop projek bernilai RM100,000 itu melibatkan pembinaan jalan sepanjang 145 meter dengan lebar 3.6 meter, selain pembinaan parit konkrit sepanjang 120 meter dan lebar 350 milimeter.
Susulan perubahan kaedah pelaksanaan, pelantikan JKR sebagai agensi pelaksana dibatalkan dan JKKK Rumah Perdu akan mengurus serta melaksanakan projek berkenaan secara langsung.
Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Betong pula akan memantau dan mengesahkan kemajuan fizikal projek sehingga siap mengikut skop serta tempoh tiga bulan yang ditetapkan selepas peruntukan diterima.
Turut hadir, Ketua Zon Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (Zon Sri Aman), Radiah Muhamed @ Muhamad, Penolong Jurutera Awam JKR Bahagian Betong, Stefy Ovyiana, Pegawai UKAS Bahagian Betong, Tony Malang Chabu, Pegawai Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Betong, Martin Enchana, Pegawai Pusat Khidmat DUN Layar, Kaunselor Horace Entoi dan Tuai Rumah Panjang Perdu, Liang Imai. -EDISI UKAS