RM6 Juta Untuk Bina Jalan Ke Nanga Kapu, Perkukuh Jaringan Batang Ai
LUBOK ANTU: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM6 juta bagi pembinaan jalan ke Nanga Kapu dalam usaha memperkukuh jaringan perhubungan serta meningkatkan akses masyarakat luar bandar di kawasan Batang Ai.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata, pembangunan infrastruktur berkenaan penting bagi memastikan masyarakat luar bandar turut menikmati kemudahan perhubungan yang lebih baik.
“Peruntukan kerajaan sebanyak RM6 juta bagi pembinaan jalan ke Nanga Kapu mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh jaringan perhubungan dan meningkatkan akses kepada kawasan luar bandar,” katanya ketika merasmikan Program Bersama Komuniti Batang Ai di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Datuk Dr Malcolm berkata, kualiti kepimpinan turut memainkan peranan penting dalam memastikan sesebuah kawasan terus maju dan membangun.
Menurutnya, pemimpin masyarakat perlu mempunyai komitmen, keupayaan untuk mendengar suara rakyat serta kesungguhan dalam membawa isu dan keperluan komuniti kepada perhatian kerajaan.
Beliau turut menjelaskan kepentingan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dalam menyediakan kemudahan serta melaksanakan projek pembangunan yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat.
Katanya, pelaksanaan projek berkenaan merupakan antara pendekatan penting dalam memenuhi keperluan pembangunan di peringkat akar umbi, khususnya bagi meningkatkan kemudahan dan kesejahteraan masyarakat luar bandar.
Pada majlis sama, Datuk Dr Malcolm turut meluluskan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Nanga Kapu serta RM8,000 kepada Biro Wanita Nanga Kapu. -EDISI UKAS