Persiapan Program Sarawakku Sayang Betong Diperkemas
BETONG: Persiapan Program Sarawakku Sayang Peringkat Bahagian Betong 2026 terus diperkemas bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program yang dijadual berlangsung pada 11 hingga 13 September ini di Kompleks Sukan Betong.
Aspek keselamatan, pengurusan aliran trafik dan kebersihan antara perkara utama yang diberi perhatian dalam Mesyuarat Penyelarasan Jawatankuasa Kerja Program Sarawakku Sayang Peringkat Bahagian Betong di Bilik Mesyuarat Kenyalang, Pejabat Residen Bahagian Betong, pada Jumaat.
Mesyuarat dipengerusikan Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas dan bertujuan meneliti status persiapan setiap agensi yang terlibat sebagai jawatankuasa kerja program.
Aspek kebersihan turut diberi keutamaan menerusi penyediaan kemudahan mencukupi termasuk tong sampah dan plastik sampah di lokasi program.
Program itu nanti akan dipenuhi dengan pengisian utama termasuklah Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang, Sarawak Pavilion dan Betong Pavilion, Kaunter Perkhidmatan Sarawak, gerai jualan dan usahawan serta aktiviti masyarakat.
Program berkenaan turut disertai cadangan lawatan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg ke beberapa projek berimpak tinggi di Bebuling Spaoh, termasuk Agropark Bebuling Spaoh, Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) Bebuling Spaoh dan STOLport Bebuling Spaoh.
Persiapan program akan terus diperhalusi menerusi penyelarasan antara agensi bagi memastikan keselamatan, pengurusan trafik, kebersihan dan pengisian program berada pada tahap terbaik. –EDISI UKAS