Karya TVS Tembusi VIMA 2026, Bakat Borneo Terus Diangkat
KUCHING: Karya terbitan TV Sarawak (TVS), ‘Echoes of Prosperity’, meraih Anugerah Perak bagi kategori Lagu Bahasa Cina Terbaik pada VIMA Music Awards 2026, sekali gus membuka ruang lebih luas untuk karya dan bakat muzik Borneo diketengahkan di peringkat antarabangsa.
Ketua Kandungan Kreatif TVS, Jamal Abdullah berkata, pencapaian itu membuktikan karya tempatan mempunyai potensi untuk bersaing di platform lebih besar, selain memberi peluang kepada penggiat seni Sarawak memperluaskan capaian karya mereka.
“Konsep kami adalah menghasilkan lagu bagi setiap perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Hari Gawai dan Hari Raya.
“Langkah ini sejajar dengan gaya hidup Sarawak yang berbilang kaum serta sentiasa menekankan nilai perpaduan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi temu bual media sempena Majlis Penyerahan Sijil Pencapaian VIMA Music Awards 2026 di Sarawak Media Group (SMG), di sini pada Jumaat.
‘Echoes of Prosperity’ didendangkan Morris dan Raquel serta digubah oleh Galvin Patrick, dengan mengetengahkan mesej keharmonian budaya, kebahagiaan dan perpaduan.
Satu lagi karya terbitan TVS, Nostalgia Raya, nyanyian Alia Tenor dan Bob Yusuf hasil ciptaan Galvin Patrick, turut tercalon dalam Top 5 Finalis kategori Lagu Etnik Terbaik pada anugerah sama.
Jamal berkata, TVS turut memperluas penerbitan muzik kepada karya bertemakan patriotik sempena Hari Sarawak dan Hari Malaysia, selain lagu-lagu perayaan.
Menurutnya, usaha tersebut akan diperluaskan ke Sabah dan seterusnya seluruh Borneo bagi memberi lebih banyak ruang kepada bakat tempatan.
“Bakat Borneo perlu dicungkil dan diberi peluang mengetengahkan potensi mereka di platform nasional seperti Anugerah Industri Muzik (AIM). Kerjasama rapat dengan rakan media seperti Media Prima, Astro dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) juga akan dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.
Pencapaian itu turut menjadi perkembangan positif menjelang penganjuran Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) yang dijadualkan berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) pada 26 September ini.
Sebagai Penyiar Rasmi dan Rakan Kerjasama AIM25, TVS komited memperluas pendedahan karya kreatif Borneo di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Turut hadir, Ketua Pegawai Media TVS, Mohamad Sardon Zainal, komposer Galvin Patrick serta artis tempatan Raquel, Morris dan Alia Tenor. -EDISI UKAS