Belia Luar Bandar Perlu Berani Teroka Peluang Baharu
BAU: Golongan belia di kawasan luar bandar diseru supaya tidak mengehadkan potensi diri, sebaliknya terus berusaha memperbaiki diri, berani mencuba serta tekun meneroka peluang baharu bagi membina masa depan yang lebih baik.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep berkata, latar belakang luar bandar bukan penghalang untuk belia mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang
“Bakat tidak semestinya hanya dalam bidang akademik. Ada yang mempunyai kelebihan dalam sukan, teknologi, kepimpinan, seni, kemahiran teknikal atau keusahawanan.
“Ramai individu yang berjaya bermula dari kawasan luar bandar dan melalui pelbagai cabaran sebelum mencapai kedudukan mereka hari ini,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Aspirasi Kerjaya Belia Tahun 2026 di Dewan Panglima Kurow, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bau di sini, hari ini.
Menurutnya, pemilihan hala tuju selepas tamat persekolahan bukanlah satu keputusan mudah, namun belia perlu bersedia memikul tanggungjawab terhadap pilihan yang dibuat.
“Ada yang ingin melanjutkan pengajian, ada yang mahu memasuki alam pekerjaan, dan ada juga yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan.
“Dalam dunia hari ini, teknologi, ekonomi digital dan perubahan keperluan industri telah membuka banyak peluang baharu. Pada masa yang sama, persaingan juga semakin tinggi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihati golongan belia supaya memanfaatkan media sosial dan teknologi digital secara bijak sebagai medium mendapatkan ilmu, membina rangkaian serta meneroka peluang.
Datuk Henry berharap anak-anak Bau bukan sahaja mampu mencari peluang di luar kawasan, malah mempunyai keupayaan untuk kembali menyumbang kepada pembangunan Bau dan Sarawak apabila peluang pembangunan terus berkembang.
Hadir sama, Timbalan Pengarah (Sektor Pengurusan Sekolah), Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak. Dr. Les Met, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bau, Dewis Lidek, Penasihat Youth Empowerment Club (YEC), Ann Jasmine dan Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO Negeri Sarawak, Christine Elleysa Libon.—EDISI UKAS