Generasi Muda Perlu Diberi Peluang Kenali Budaya, Warisan
MIRI: Generasi muda perlu diberi ruang dan peluang untuk mengenali, menyertai serta meneruskan budaya dan warisan masyarakat agar kekal relevan dan tidak sekadar menjadi kenangan masa lalu.
Datuk Bandar Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, kelangsungan sesuatu budaya bergantung kepada penglibatan generasi muda sebagai pewaris kepada tradisi yang diwarisi sejak turun-temurun.
Menurut beliau, warisan budaya perlu disesuaikan dengan kehidupan moden bagi memastikan ia terus mempunyai daya tarikan kepada generasi baharu.
“Pemeliharaan budaya bukan sekadar menyimpan masa lalu, tetapi juga mencipta masa depan," katanya ketika berucap pada Majlis Gimik Pelancaran Pesta Kebudayaan Cina Miri 2026 di Dataran Kipas, di sini, pada Ahad.
Selain itu, Adam Yii memberitahu, penganjuran pesta kebudayaan bukan sekadar acara untuk meraikan budaya Cina, malah menjadi platform mengenang sejarah, meneruskan warisan serta mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat.
Katanya, masyarakat Cina telah memainkan peranan penting dalam pembangunan Miri, khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan, kebudayaan, kebajikan, khidmat komuniti dan pembangunan belia.
Pesta Kebudayaan Cina Miri 2026 akan berlangsung pada 12 September 2026 di Eastwood Valley Golf & Country Club dengan menampilkan makanan tradisional serta pelbagai persembahan kebudayaan masyarakat Cina. -EDISI UKAS