Pembangunan Kedaya Telang Usan: Masyarakat Ulu Baram Sambut Positif Falsafah Inklusif Kerajaan
Pengenalan
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala, kawasan DUN Mulu dibahagikan kepada empat kawasan pembangunan utama bagi memperkemas perancangan pembangunan di kawasan pedalaman.
Empat kawasan tersebut ialah Pembangunan Poyut Lubok Nibong (PPLN), Jawatankuasa Pembangunan Kawasan Tutoh, Pembangunan Kedaya Telang Usan dan Jawatankuasa Pembangunan Sosio Daerah Kecil Bario.
Beliau menjelaskan bahawa pembahagian tersebut bertujuan membolehkan semua Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) duduk bersama untuk membincangkan serta merancang pembangunan yang melibatkan kawasan lebih luas secara menyeluruh dan tersusun. (UKAS 15 Mac 2026).
Kedaya Telang Usan
Jauh di pedalaman utara Sarawak terbentang landskap Ulu Baram yang luas dan kaya dengan khazanah budaya - sebuah kawasan yang sekian lama menyaksikan sungai, hutan, pergunungan, dan petempatan tradisional menjadi unsur yang tidak terpisahkan daripada kehidupan masyarakat setempat.
Dalam lingkungan wilayah yang luas ini, Kedaya Telang Usan bukan sekadar merujuk kepada suatu ruang geografi, tetapi merupakan sebuah lingkungan kehidupan yang menghimpunkan masyarakat, kebudayaan dan khazanah alam semula jadi.
Kini, kawasan ini muncul sebagai antara medan penting dalam mencorakkan dimensi baharu pembangunan Sarawak melalui pendekatan yang mengimbangi pemeliharaan alam sekitar, pemerkasaan masyarakat dan penciptaan peluang ekonomi yang mampan.
Cadangan Pewartaan Sebuah Lagi Taman Negara
Salah satu perkembangan paling penting ke arah tersebut ialah cadangan pewartaan Taman Negara Bukit Keluan yang merangkumi Air Terjun Tiga Beradik (Three Sisters Waterfall) di Ulu Baram.
Kerajaan Sarawak melalui Sarawak Forestry Corporation (SFC) sedang menyediakan cadangan pewartaan kawasan berkenaan sebagai sebuah taman negara yang dilindungi. Kawasan cadangan tersebut melibatkan keluasan kira-kira 1,619 hektar dan merangkumi lapan buah kampung.
Cadangan tersebut bukan semata-mata berasaskan keindahan pemandangan kawasan berkenaan. Penilaian biodiversiti yang dijalankan sepanjang tahun 2025 telah menunjukkan nilai ekologinya yang tinggi, dengan dapatan awal merekodkan sekurang-kurangnya 66 spesies fauna dan 142 spesies flora.
Penemuan ini memberikan asas yang kukuh bahawa kawasan tersebut bukan sekadar berpotensi sebagai destinasi pelancongan, malah merupakan aset alam semula jadi yang penting dan wajar dipelihara untuk jangka panjang.
Terletak dalam landskap berkenaan ialah Air Terjun Tiga Beradik yang semakin dikenali sebagai antara tarikan alam semula jadi di Ulu Baram. Keindahan air terjun tersebut bersama- sama hutan hujan dii sekelilingnya menawarkan potensi besar untuk dibangunkan sebagai destinasi ekopelancongan dan pelancongan berasaskan pengembaraan.
Namun demikian, potensi tersebut perlu dibangunkan secara terancang dan terkawal. Cadangan pewartaan kawasan ini mencerminkan usaha Kerajaan Sarawak untuk memastikan khazanah alam berkenaan dilindungi, diurus secara mampan dan dimanfaatkan tanpa menjejaskan kelestariannya untuk generasi akan datang.
Pemuliharaan Alam sebagai Aset Ekonomi
Matlamat pembangunan kawasan ini bukan sekadar untuk membawa pelawat ke pedalaman, tetapi juga memastikan kegiatan pelancongan dapat dilaksanakan tanpa mengorbankan keutuhan ekologinya. Pendekatan ini amat penting kerana kawasan yang dicadangkan sebagai taman negara tersebut turut menjadi ruang kehidupan masyarakat setempat.
Kira-kira 4,550 penduduk daripada lapan buah kampung telah dikenal pasti sebagai pemegang taruh dalam proses pewartaan berkenaan. Mereka terdiri daripada komuniti Kayan, Kenyah dan Penan yang mempunyai hubungan sejarah serta budaya yang rapat dengan hutan dan landskap di sekeliling mereka.
Oleh itu, usaha pemuliharaan alam sekitar tidak seharusnya dilaksanakan sebagai suatu proses yang dipaksakan terhadap masyarakat setempat. Sebaliknya, usaha tersebut perlu dilaksanakan dengan penyertaan aktif dan persetujuan mereka.
Kerajaan Sarawak telah menggalakkan masyarakat yang terlibat untuk menghadiri sesi libat urus anjuran Sarawak Forestry Corporation (SFC). Mereka turut disarankan mengemukakan tuntutan Hak Adat Bumiputera dan keistimewaan yang sahih, sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 12 Ordinan Taman Negara dan Rizab Semula Jadi 1998, berserta dokumen sokongan yang berkaitan.
Penglibatan tersebut amat penting kerana pemuliharaan hutan perlu bergerak seiring dengan pengiktirafan terhadap hak, kepentingan dan hubungan tradisi masyarakat yang telah mendiami serta bergantung pada landskap berkenaan sejak beberapa generasi.
Kerangka kawasan perlindungan yang dicadangkan itu turut membuka ruang untuk menjadikan pemuliharaan alam sebagai wahana pembangunan ekonomi luar bandar. Menurut Kerajaan Sarawak, masyarakat yang layak masih boleh menjalankan kegiatan tertentu yang dibenarkan, termasuk mengumpulkan hasil hutan bukan kayu untuk kegunaan sendiri.
Pada masa yang sama, masyarakat setempat berpeluang mengambil bahagian secara langsung dalam sektor ekopelancongan melalui penyediaan perkhidmatan inap desa, pemandu taman, penghasilan kraf tangan dan pelbagai kegiatan pelancongan berasaskan komuniti. (TVS, 13 Mei 2026)
Di sinilah terletaknya kepentingan Kedaya Telang Usan dalam konteks pembangunan yang lebih luas. Kemajuan di kawasan pedalaman tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan pembinaan jalan raya, bangunan atau kemudahan fizikal. Kemajuan juga perlu dinilai berdasarkan sejauh mana masyarakat diberikan peluang untuk memperoleh mata pencarian yang mampan daripada sumber serta warisan yang terdapat di persekitaran mereka sendiri.
Dalam pengertian ini, pemuliharaan alam boleh menjadi aset ekonomi dan bukannya penghalang kepada pembangunan.
Laporan Statistik Program Pengalaman Homestay Malaysia setakat April 2026 yang diterbitkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyenaraikan Homestay Kedaya Telang Usan, Ulu Baram, di bawah Koperasi Kedaya Telang Usan Miri Berhad.
Program tersebut melibatkan lapan buah kampung, iaitu Long Julan Pelutan, Lio Mato, Long Semiyang, Long San, Long Selatong Dikan, Long Sela’an, Long Moh dan Long Apu. Laporan yang sama turut merekodkan seramai 14 pengusaha di bawah kluster homestay berkenaan. (MOTAC, Laporan Statistik April 2026)
Dalam satu temu bual di Miri, penulis komentari Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) berkesempatan mendapatkan penjelasan daripada Simpson Njock Lenjau mengenai perkembangan program homestay tersebut.
Menurut Simpson, beliau merupakan penyelaras Homestay Kedaya Telang Usan yang diwujudkan di bawah kendalian Koperasi Kedaya Telang Usan Miri Berhad. Beliau menjelaskan bahawa koperasi itu dipengerusikan oleh Temenggong Joseph Ngau Lian, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kedaya Telang Usan. Kedudukan Temenggong Joseph sebagai Pengerusi jawatankuasa berkenaan turut dilaporkan oleh UKAS.
Simpson turut memaklumkan bahawa beberapa siri perbincangan telah diadakan antara koperasi dengan SFC. Perbincangan tersebut dijangka diteruskan sehingga suatu bentuk kerjasama rasmi dapat dimeterai antara kedua-dua pihak.
Beliau pernah berkhidmat sebagai ahli Majlis Daerah Marudi dan aktif dalam pelbagai organisasi masyarakat serta usaha pembangunan komuniti di Kedaya Telang Usan.
Penutup
Cadangan pewartaan Taman Negara Bukit Keluan berpotensi melengkapi rangkaian pelancongan berasaskan komuniti yang telah tersedia dan bukan membentuk suatu ekosistem pelancongan baharu dari awal.
Tarikan alam semula jadi seperti Air Terjun Tiga Beradik boleh menjadi pemangkin kepada perkembangan perkhidmatan penginapan, pemandu pelancong, penghasilan kraf tangan, pengalaman kebudayaan dan keusahawanan tempatan. Sekiranya dirancang dengan baik, manfaat ekonomi yang terhasil dapat dinikmati secara langsung oleh masyarakat setempat.
Pada masa yang sama, cadangan taman negara tersebut mencerminkan perubahan lebih luas dalam pendekatan pembangunan Sarawak. Hutan di kawasan pedalaman tidak lagi dilihat semata-mata sebagai sumber bahan mentah, tetapi turut dihargai sebagai khazanah biodiversiti, warisan budaya, penyedia perkhidmatan ekosistem dan sumber potensi ekonomi jangka panjang.
Justeru, usaha memelihara hutan bukanlah penghalang kepada pembangunan. Sebaliknya, pemuliharaan alam merupakan suatu pelaburan jangka panjang yang dapat memperkukuh kelestarian alam sekitar, menjana peluang ekonomi dan menjamin kesejahteraan masyarakat yang bergantung padanya.