Kejohanan Bola Keranjang Platform Cungkil Bakat Baharu Belia
BETONG: Kejohanan Bola Keranjang Terbuka Piala Datuk Gerald Rentap Jabu 2026 menjadi platform mencungkil bakat baharu dalam kalangan belia, selain memupuk disiplin, kerjasama dan semangat kesukanan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, penganjuran kejohanan seperti itu penting dalam menyediakan ruang kepada golongan belia untuk mengembangkan bakat serta memperkukuh perpaduan menerusi aktiviti sukan.
Beliau berharap penyertaan golongan belia dalam kejohanan bola keranjang dapat dipertingkatkan pada masa akan datang bagi membolehkan lebih ramai bakat baharu dikenal pasti dan diketengahkan.
“Saya harap lebih banyak penyertaan daripada belia kita supaya kita dapat mencungkil lebih ramai bakat,” katanya ketika berucap dan menyempurnakan majlis penyampaian hadiah di Dewan Sukan SJKC Chung Hua Betong, pada Ahad.
Dalam pada itu, Datuk Gerald merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, jawatankuasa pertandingan, pengadil, pemain dan penonton atas sokongan yang diberikan sepanjang kejohanan.
Beliau turut menyifatkan aksi final kategori lelaki sebagai perlawanan sengit dan kompetitif apabila kedua-dua pasukan mempamerkan semangat juang tinggi.
Dalam keputusan pertandingan, Lord Tiger muncul juara Kategori Lelaki Terbuka selepas menewaskan Ping Electrical & Aircond Works 81-78, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, manakala naib juara menerima RM1,000.
Bagi Kategori Wanita Terbuka, Sarikei Lynx dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan Jessie Cake Designer untuk membawa pulang hadiah RM800, manakala naib juara menerima RM500.
Kejohanan selama empat hari itu disertai enam pasukan lelaki dan tiga pasukan wanita dari Kuching, Sri Aman, Sarikei dan Betong.-EDISI UKAS