Jajaran Dalat-Sibu Bakal Tingkat Akses, Rancak Pembangunan Setempat
SIBU: Pelaksanaan cadangan jajaran jalan yang menghubungkan Dalat ke Sibu perlu dipercepatkan bagi meningkatkan akses perhubungan penduduk khususnya di kawasan pedalaman sekali gus merancakkan pembangunan sosioekonomi di sepanjang laluan berkenaan.
Kaunselor Kevin Lau Kor Jie berkata, cadangan tersebut wajar diberi perhatian memandangkan pelaksanaannya mampu meningkatkan mobiliti penduduk selain membuka lebih banyak peluang pembangunan dan memudahkan akses kepada kemudahan asas.
“Berdasarkan perancangan, jajaran berkenaan akan menghubungkan Muara Kut ke Sungai Pinang, Bungan Besar dan seterusnya ke Rasau sebelum disambungkan ke Sibu.
“Sekiranya diberi amanah oleh Premier Sarawak untuk memainkan peranan lebih besar bagi kawasan Bawang Assan, saya akan bekerjasama dengan semua pihak untuk mempercepatkan usaha merealisasikan projek ini, termasuk jalan dari Rasau ke Rantau Panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Program Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Salim Unang, Sungai Rasau, Batang Igan Tengah di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Kevin berkata, kejayaan pelaksanaan projek pemasangan lampu jalan di Rasau menerusi peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bernilai RM83,000 sebelum ini membuktikan keberkesanan kerjasama antara pemimpin, ketua masyarakat dan penduduk setempat.
Menurutnya, projek berkenaan berjaya dilaksanakan hasil sokongan dan kerjasama pelbagai pihak dalam memenuhi keperluan penduduk di kawasan tersebut.
“Semua lampu jalan tersebut telah dipasang dan dilaksanakan dengan baik. Ini bukan atas usaha saya seorang, tetapi disebabkan kita mempunyai sokongan daripada semua penduduk dan Tuai Rumah di sini untuk menyampaikan permohonan bagi projek RTP khas ini,” ujarnya.-EDISI UKAS