Bantuan UNIFOR RM140,000 Perkukuh Kemudahan Gereja St. Anthony Of Padua, Tudan
MIRI: Sebanyak RM140,000 bantuan daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) disalurkan kepada Gereja St. Anthony of Padua, Tudan bagi tujuan pembinaan pagar dan tempat letak kereta di kawasan gereja berkenaan.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Dato Sri Lee Kim Shin berkata, bantuan kepada institusi keagamaan merupakan sebahagian daripada pendekatan Kerajaan Sarawak dalam memastikan semua komuniti agama mendapat perhatian dan sokongan sewajarnya.
Beliau berkata, kepelbagaian kaum dan agama di Sarawak tidak seharusnya menjadi penghalang kepada masyarakat untuk hidup secara aman, bersatu padu dan saling menghormati.
“Kita di Sarawak terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Kita semua boleh hidup bersatu padu, hormat dan menghormati antara satu sama lain,” katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian cek tersebut di Gereja St. Anthony of Padua pada Ahad.
Dato Sri Lee menambah, keharmonian tersebut merupakan antara kekuatan Sarawak yang perlu terus dipelihara oleh semua pihak.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat supaya tidak mudah dipengaruhi fahaman ekstremisme atau anasir yang boleh menggugat keamanan dan keharmonian masyarakat Sarawak.
Menurutnya, rakyat Sarawak perlu berbangga dengan cara hidup serta nilai kemasyarakatan yang diamalkan di negeri ini, selain terus bekerjasama dan menghormati antara satu sama lain. -EDISI UKAS