Dialog Pemimpin Pendidikan, Komuniti Kenal Pasti Keperluan Setempat
KANOWIT: Sesi Dialog Pemimpin Pendidikan dan Komuniti menjadi platform penting dalam mengenal pasti isu serta keperluan masyarakat setempat, khususnya melibatkan pendidikan, kemudahan asas dan pembangunan komuniti.
Ahli Parlimen Kanowit merangkap Menteri Perpaduan Negara, Dato Sri Aaron Ago Dagang berkata, sesi anjuran Kelab Rekreasi Pejabat Pendidikan Daerah Kanowit itu memberi ruang kepada guru besar, ketua-ketua rumah dan pemimpin rumah ibadat untuk menyuarakan pandangan serta cadangan secara langsung.
Menurut beliau, antara perkara yang dibangkitkan termasuk isu rangkaian internet di sekolah, keperluan kemudahan pengangkutan seperti bas atau coaster bagi membawa murid menyertai aktiviti sukan serta usaha memperluas pembelajaran berkaitan sejarah Sarawak.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog berkenaan di Bilik Mesyuarat Pejabat Pendidikan Daerah Kanowit, pada Ahad.
Beliau menambah, setiap cadangan yang dikemukakan akan diberi perhatian dan diperhalusi bersama pihak berkaitan bagi mengenal pasti tindakan susulan yang bersesuaian.
Dato Sri Aaron berkata, pendekatan turun padang dan mendengar sendiri pandangan masyarakat penting bagi memastikan keperluan di peringkat akar umbi dapat difahami dengan lebih dekat.
Pendekatan itu juga membolehkan tindakan susulan dirancang dengan lebih berkesan demi memastikan kesejahteraan masyarakat di Kanowit terus diberi perhatian.
Dalam pada itu, Dato Sri Aaron turut menyampaikan peruntukan bantuan berjumlah RM535,000 kepada komuniti setempat.
Daripada jumlah tersebut, RM345,000 disalurkan kepada sekolah-sekolah, manakala RM190,000 kepada pusat-pusat ibadat setempat.-EDISI UKAS