IPU Serian Cecah 475, Enam Lagi Kawasan Sarawak Catat Tahap Berbahaya
KUCHING: Serian merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi di Sarawak iaitu 475, manakala enam lagi kawasan turut mencatatkan tahap berbahaya berikutan situasi jerebu yang semakin membimbangkan.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, enam kawasan berkenaan ialah Tebedu (402), Lubok Antu (375), Lundu (363), Samarahan (333), Kuching (331) dan Sri Aman (331).
Beliau berkata, tiga kawasan iaitu Sarikei (275), Sibu (220) dan Mukah (215) pula berada pada tahap sangat tidak sihat.
Manakala katanya, lapan lokasi yang lain di Sarawak iaitu Kapit (164), Bintulu (161),
Samalaju (180), Miri (171), ILP Miri (169), Limbang (161), Lawas (137) dan Bario (115) kini berada dalam kategori tidak sihat.
"JPBNS melalui Jabatan Alam Sekitar (DOE) bersama Lembaga Sumber Asli Dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) sedang memantau keadaan dengan rapi dan kita sedang berusaha mewujudkan satu mekanisme supaya maklumat berkaitan dapat dilaporkan secara berkala menerusi media massa, khususnya TVS," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media JPBNS mengenai situasi jerebu di Wisma Bapa Malaysia, di sini, pada Isnin.
Datuk Amar Douglas berkata, pada 29 Ogos 2026, Sarawak merekodkan sembilan titik panas berbanding 1,180 di Kalimantan dan 18 di Sumatera, manakala Sabah dan Semenanjung Malaysia masing-masing merekodkan dua titik panas.
Tambah beliau, pada 30 Ogos pula, Sarawak terus merekodkan sembilan titik panas.
Jelasnya, secara kumulatif berdasarkan pemantauan dari Januari hingga 30 Ogos 2026, Sarawak merekodkan 302 titik panas, dengan 186 daripadanya dikesan pada bulan Ogos.
Tambah beliau lagi, jika dibandingkan dengan 15,587 titik panas yang dikesan di Kalimantan dalam tempoh yang sama, termasuk 13,212 titik panas pada bulan Ogos.
"Pemantauan serantau terkini dan analisis satelit menunjukkan aktiviti kebakaran yang ketara di beberapa kawasan di Kalimantan, dengan asap jerebu berpotensi memberi kesan kepada Sarawak.
"Sebenarnya, angin membawa jerebu ke Sarawak dari arah Kalimantan," jelasnya. -EDISI UKAS