Malam Kebudayaan Chung Hua Pelihara Warisan, Perkukuh Perpaduan
MERADONG: Malam Kebudayaan Chung Hua sempena Pesta Meradong 2026 menjadi wadah memelihara warisan masyarakat Cina, di samping memperkukuh persefahaman dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, budaya merupakan identiti sesuatu bangsa dan pada masa sama berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
Menurut beliau, penganjuran program kebudayaan seperti itu penting bagi memastikan generasi muda terus mengenali, menghargai dan mewarisi budaya masing-masing.
“Malam Kebudayaan Chung Hua bukan sekadar persembahan pentas, sebaliknya menjadi platform untuk memperkenalkan keunikan budaya masyarakat Cina kepada kaum-kaum lain,” katanya ketika berucap semasa program tersebut di Pentas Utama, Tapak Pesta Meradong, pada Ahad.
Dato Sri Huang menambah, persembahan seperti pertukaran wajah, muzik tradisional Cina, tarian, tarian singa dan gendang perayaan bukan sahaja mengetengahkan keunikan seni budaya Cina, malah membuka ruang kepada masyarakat pelbagai kaum untuk saling memahami dan menghargai kepelbagaian budaya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg atas komitmen Kerajaan Sarawak dalam memelihara kepelbagaian budaya serta memastikan setiap kaum diberi perhatian sewajarnya.
Sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasakan warisan budaya dan keharmonian masyarakat, beliau turut mengumumkan peruntukan RM20,000 kepada Persatuan Foochow Meradong.
Beliau berharap sumbangan tersebut dapat membantu persatuan berkenaan meneruskan penganjuran program kebudayaan, sekali gus memastikan warisan masyarakat Cina terus dipelihara dan diwarisi generasi muda.
Malam Kebudayaan Chung Hua anjuran Persatuan Foochow Meradong itu turut menampilkan persembahan kebudayaan oleh persatuan berkenaan serta pelajar sekolah sekitar Bintangor.
Turut hadir, ADUN Meradong Datuk Ding Kuong Hiing, Pegawai Daerah Meradong merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Meradong 2026 Wee Teck Min, Setiausaha Majlis Daerah Meradong dan Julau Lau Chi Sing serta Pengerusi Persatuan Foochow Meradong Dato’ Thomas Ung Sing Ung.-EDISI UKAS