Atlet Para Sarawak Diseru Pecah Rekod Peribadi, Buru Emas
KUCHING: Atlet Para Sarawak diseru menjadikan usaha memperbaiki rekod peribadi sebagai sasaran utama ketika beraksi pada Para SUKMA Selangor 2026, sebelum memburu pingat emas untuk negeri.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata setiap atlet perlu menetapkan sasaran untuk meningkatkan pencapaian masing-masing sebagai satu bentuk kejayaan di pentas Para SUKMA.
“Yang pasti ialah setiap orang dapat memperbaiki sasarannya, rekodnya. Mesti naikkan satu peringkat lagi. Itu kita dah menjadi satu kejayaan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kata-kata semangat pada Majlis Send-Off Atlet Para Sarawak ke Para SUKMA Selangor 2026 di Balai Pelepasan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), di sini, pada Selasa.
Menurut Dato Sri Fatimah, kejayaan atlet perlu dilihat secara berperingkat, bermula dengan kelancaran proses klasifikasi, kemampuan untuk bertanding, peningkatan rekod peribadi dan seterusnya mencapai sasaran pingat emas.
Katanya, proses klasifikasi yang bakal dijalani di Selangor perlu berjalan lancar bagi memastikan atlet yang telah membuat persiapan dapat beraksi dalam acara masing-masing tanpa berdepan masalah kelayakan.
Beliau turut mengingatkan atlet supaya memastikan kesiapsiagaan fizikal, mental dan emosi berada pada tahap terbaik sepanjang kejohanan, selain menjaga pemakanan serta kesihatan sebelum pertandingan.
Seramai 383 anggota kontinjen Sarawak yang terdiri daripada 172 atlet, 126 pegawai dan 85 pegawai sokongan akan menyertai Para SUKMA Selangor 2026.
Dato Sri Fatimah berkata persiapan pasukan telah dilakukan lebih setahun, dengan pengurus dan jurulatih mengenal pasti bakat baharu serta menggabungkannya dengan atlet sedia ada bagi membentuk pasukan yang akan mewakili Sarawak.
Menurutnya, perjuangan atlet Para Sarawak bukan sekadar mengejar kejayaan dalam pertandingan, malah membawa nama Sarawak serta mengangkat pencapaian golongan orang kurang upaya (OKU) ke peringkat lebih tinggi.
Beliau turut menyeru atlet supaya kekal fokus dan menjadikan segala cabaran yang dihadapi sebagai pembakar semangat untuk memberikan prestasi terbaik di Selangor.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Lonney Jinab
Foto: Mohd Hisyam Arif & Lonney Jinab