ICM 2026 Himpun Lebih 300 Pakar Mikroelektronik Antarabangsa
KUCHING: Sarawak bakal menjadi tumpuan komuniti mikroelektronik antarabangsa apabila menjadi tuan rumah Persidangan Antarabangsa Mikroelektronik ke-38 (ICM 2026), yang dijangka menghimpunkan lebih 300 penyelidik, jurutera, ahli akademik dan profesional industri dari dalam dan luar negara.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, penganjuran persidangan berprestij itu membuka peluang kepada Sarawak untuk menghubungkan kepakaran global dengan bakat, penyelidikan serta industri tempatan, sekali gus menyokong pembangunan ekonomi berasaskan inovasi dan teknologi.
“ICM 2026 merupakan langkah penting ke arah hasrat Kerajaan Sarawak membina ekonomi berpendapatan tinggi yang dipacu inovasi dan teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media penganjuran ICM 2026 di sini pada Selasa.
Menurutnya lagi, persidangan yang akan berlangsung di Muzium Budaya Borneo dari 7 hingga 10 Disember depan itu turut menyokong keutamaan Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, khususnya dalam bidang inovasi, transformasi digital, pembangunan modal insan dan pembuatan maju.
“Bagi Sarawak bersaing dalam industri masa depan, kita perlu mewujudkan peluang untuk rakyat belajar daripada yang terbaik, menyertai rangkaian global dan menukar ilmu kepada peluang sebenar,” katanya.
ICM 2026 menandakan kembalinya persidangan berkenaan ke Malaysia selepas lebih 30 tahun dan dijangka menjana impak ekonomi sekitar RM2.5 juta kepada Sarawak.
Persidangan itu akan menjadi platform pertukaran ilmu menerusi pembentangan kertas kerja, sesi khas termasuk rentas persatuan, bengkel, demonstrasi langsung, tutorial serta lawatan teknikal industri.
Sementara itu, Pengerusi Pengelola ICM 2026 merangkap Naib Presiden IEEE Circuits and Systems Society (IEEE CASS), Ts. Ir. Dr. Fakhrul Zaman Rokhani berkata, persidangan berkenaan akan memberi tumpuan kepada kemajuan mikroelektronik dan perkakasan bagi menyokong perkembangan kecerdasan buatan (AI).
“ICM 2026 akan meneroka bagaimana kita boleh menjadikan AI lebih pantas, cekap tenaga dan mampan melalui kemajuan dalam mikroelektronik dan perkakasan,” katanya.
ICM 2026 dianjurkan oleh Institute of Electrical and Electronics Engineers Circuits and Systems Society (IEEE CASS) dengan sokongan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Business Events Sarawak (BESarawak), Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB), Universiti Putra Malaysia (UPM), Sarawak Microelectronics Design (SMD) Semiconductor Sdn Bhd dan Swinburne University of Technology Sarawak, manakala Akademi Sains Malaysia (ASM) bertindak sebagai Rakan Sains dan Teknologi.
Persidangan itu turut mendapat kelulusan penerbitan IEEE Xplore, manakala kertas kerja terpilih akan dipelawa untuk dikembangkan bagi penerbitan dalam jurnal IEEE berkaitan, tertakluk kepada proses semakan jurnal berkenaan.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), Dato Syeed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman, Penolong Setiausaha Bahagian Perkhidmatan Pengurusan MEITD, Rafidah Ahmad Shafiee, Ketua Pegawai Eksekutif BESarawak, Jason Tan Chin Foo dan Pengerusi IEEE CASS Malaysia Chapter, Profesor Dr. Haslina Jaafar. -EDISI UKAS