KUCHING: Jurutera muda perlu bersedia menghadapi perubahan teknologi yang pesat, khususnya perkembangan kecerdasan buatan (AI) yang bakal memainkan peranan penting pada masa hadapan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, golongan jurutera perlu mampu menganalisis perkembangan masa depan serta menterjemahkan idea kepada penyelesaian praktikal.
“Saya fikir untuk masa hadapan, senario ini akan berbeza daripada masa kini. Senarionya ialah, kecerdasan buatan (AI) akan memainkan peranan penting dan kecerdasan buatan, seperti yang anda tahu, adalah untuk mempercepatkan pencarian penyelesaian.
“Itulah sebabnya kebijaksanaan itu penting. Untuk menterjemahkan idea itu kepada sesuatu yang praktikal. Jurutera muda akan berada di era seperti itu di mana mesin akan bertindak seperti manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi ‘fireside chat’ pada Perhimpunan Agung dan Konvensyen Persekutuan Institusi Kejuruteraan Asia dan Pasifik (FEIAP) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, pada Khamis.
Sesi berkenaan dimoderatorkan oleh Bekas Presiden Institusi Jurutera Malaysia (IEM) dan FEIAP, Ir. Academician Emeritus Profesor Tan Sri Dato' Seri Dr. Chuah Hean Teik.
Menjelas lanjut, menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, perkembangan robot humanoid, dron, AI dan teknologi perubatan akan membawa perubahan besar kepada ekonomi serta struktur sosial.
Sehubungan itu, beliau menggesa jurutera muda supaya terus berfikiran ke hadapan dan bersedia meneroka penyelesaian baharu bagi memastikan profesion kejuruteraan kekal relevan dalam menghadapi perubahan teknologi global.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ibanez Jeffery Guang