SYDNEY: Kuching mencatat pencapaian penting di peringkat antarabangsa apabila dipilih secara sebulat suara sebagai Konvenor dan Bandar Pengerusi Alliance for Healthy Cities (AFHC) bagi tempoh 2028 hingga 2030.
Pemilihan itu dibuat pada Mesyuarat Agung Ke-11 AFHC, sekali gus memberi Kuching peranan kepimpinan dalam memperkukuh kerjasama, perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik berkaitan agenda bandar sihat dalam kalangan anggota rangkaian tersebut.
Pada mesyuarat sama, Kuching turut disahkan sebagai tuan rumah Persidangan Global AFHC Ke-12 pada 2028 yang akan menghimpunkan pemimpin bandar sihat, pembuat dasar, pakar serta pengamal daripada rangkaian AFHC ke Sarawak.
AFHC kini menghimpunkan 181 bandar dan organisasi anggota yang komited terhadap usaha mempromosikan komuniti lebih sihat, mampan dan berteraskan kesejahteraan rakyat.
Kuching diwakili secara bersama oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Majlis Perbandaran Padawan (MPP), mencerminkan kerjasama antara empat agensi dalam memperkukuh agenda Bandar Sihat.
Delegasi Kuching diketuai Pengarah EPU Sarawak, Datu Ir. Ts. Awang Muhammad Fadillah Awang Redzuan, bersama Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy bin Othman, Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng serta Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan, Cr Mahmud Dato Sri Ibrahim.
Sebagai Konvenor dan Bandar Pengerusi, Kuching akan memainkan peranan lebih besar dalam menghubungkan bandar anggota AFHC serta memperkukuh pertukaran pengetahuan dan pengalaman berkaitan pembangunan bandar sihat.
Penganjuran Persidangan Global AFHC Ke-12 pada 2028 turut membuka ruang untuk Kuching dan Sarawak mengetengahkan inisiatif serta pengalaman dalam bidang bandar sihat, kelestarian dan kesejahteraan komuniti kepada masyarakat antarabangsa.
Pencapaian tersebut mengukuhkan kedudukan Kuching di peringkat antarabangsa dalam agenda pembangunan bandar yang menitikberatkan kesihatan, kelestarian dan kesejahteraan rakyat.— EDISI UKAS