EATOF Platform Sarawak Perluas Pasaran Pelancongan Antarabangsa
FILIPINA: Penyertaan Sarawak dalam Perhimpunan Agung Ke-19 East Asia Inter-Regional Tourism Federation (EATOF) menjadi platform strategik untuk memperluas pasaran pelancongan antarabangsa.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kerjasama serantau melalui EATOF penting dalam mewujudkan peluang baharu, memperkukuh hubungan antara destinasi serta meningkatkan akses Sarawak ke pasaran antarabangsa.
Menurut beliau, EATOF turut menyediakan ruang untuk Sarawak berkongsi pengalaman, membangunkan inisiatif bersama dan memperkukuh hubungan dengan wilayah-wilayah anggota di Asia Timur dan Asia Tenggara.
“Keutamaan kami bukan sahaja untuk menarik lebih ramai pelawat, tetapi juga membina peluang pelancongan mampan yang memberi manfaat kepada komuniti serta memperkukuh rantau ini secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyertai Perhimpunan Agung Ke-19 EATOF di Mactan Expo, Lapu-Lapu City, Cebu, Filipina pada Khamis.
Dalam perkembangan berkaitan, delegasi Sarawak turut mengadakan beberapa pertemuan dua hala bersama Gangwon, Republik Korea, Cebu, Filipina, Quang Ninh, Vietnam dan Tuv, Mongolia.
Pertemuan berkenaan meneroka potensi kerjasama dalam bidang pemasaran pelancongan, ekopelancongan, hubungan udara, pemasaran digital, Pelancongan Berasaskan Komuniti, pelancongan pendidikan dan kesihatan, pertukaran kebudayaan serta pelancongan kapal persiaran.
Sehubungan itu, Dato Sri Abdul Karim berkata Sarawak akan terus memanfaatkan jaringan antarabangsa tersebut bagi mempelbagaikan pasaran pelancongan dan memposisikan negeri itu sebagai pintu masuk kepada pengalaman unik Borneo.
Jelasnya, kekuatan Sarawak yang merangkumi budaya, pengembaraan, alam semula jadi, makanan dan festival mampu dihubungkan dengan pasaran baharu serta peluang kerjasama menerusi jaringan EATOF.
Penyertaan Sarawak dalam perhimpunan berkenaan sekaligus mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh sektor pelancongan yang mampan, inklusif dan mempunyai jaringan antarabangsa, di samping memperkukuh kedudukan negeri sebagai antara destinasi pelancongan utama di Asia Tenggara.-EDISI UKAS