Para SUKMA 2026: Gabungan Pengalaman, Pelapis Jadi Sandaran Para Renang Sarawak Buru 12 Emas
SHAH ALAM: Gabungan enam atlet berpengalaman bersama 21 atlet baharu dan pelapis menjadi sandaran skuad para renang Sarawak dalam memburu sekurang-kurangnya 12 pingat emas pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) XXII Selangor 2026.
Ketua Jurulatih Para Renang Sarawak Syarbini Kedri berkata, sasaran 12 emas ditetapkan sebagai matlamat awal pasukan, namun jumlah itu berpotensi meningkat kepada sekitar 15 emas sekiranya barisan atlet mampu menampilkan prestasi terbaik dalam saingan sebenar.
“Sasaran pertama kami memang 12 emas. Kalau ada rezeki dan keputusan di lapangan memihak kepada kita, mungkin boleh pergi sekitar 15 emas.
“Apa-apa pun boleh berlaku dalam pertandingan. Kita tengok keputusan sebenar nanti,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Sesi Pendaftaran Atlet di Dewan Raja Muda Musa di sini pada Khamis.
Syarbini menambah, pengalaman beberapa atlet yang telah lama berada dalam kelompok elit kebangsaan menjadi antara kelebihan Sarawak, khususnya dalam menghadapi tekanan pertandingan di pentas Para SUKMA.
Bagaimanapun katanya, pasukan turut berdepan cabaran apabila terdapat atlet berpengalaman yang tidak dapat menjalani latihan pada tahap sama seperti sebelum ini, sekali gus membuka ruang kepada atlet pelapis untuk memainkan peranan lebih besar.
“Kita ada atlet yang sudah berumur dan seorang daripadanya kurang sedikit latihan. Jadi kita tetap berharap dia dapat menyumbang pingat berdasarkan pengalaman yang ada.
“Dalam masa sama, kita ada pelapis dan atlet baharu yang kita harap dapat menunjukkan kemampuan masing-masing,” katanya.
Dalam acara berganti-ganti pula, Sarawak mempertaruhkan beberapa kuartet termasuk bagi gaya bebas dan campuran dengan sasaran meraih sekurang-kurangnya dua hingga tiga pingat.
Bagi kategori intelektual lelaki, Sarawak menyenaraikan Alexius Joel Kalon, Alvin Wong Jun Ming, Branson Sim Tian Hung, Federix Jushua Anthony, Mohd Khairul Azahar Jamain, Mohd Adib Iqbal Abdullah dan Muhammad Zia Shamsul Anuar.
Kategori intelektual wanita pula dibarisi Seveen Kulong Jawi, Sheena Ung Xin Ying, Zullaiqha Balqis Shah, Alice Wong Jing Mei dan Joseline Jong Shi Ying.
Sementara itu, bagi kategori fizikal, antara atlet yang disenaraikan ialah Dominic Dhavellas Jame, Fraidden Dawan, Galang Jebai, Gary Laurence, Hasroy Abu Baker, Marcus Sia Wei Chen, Mohd Sofuwan Emman Saferi, Mully Andriano, Ng Jia Tak, Rapelson Richard Hamit, Raymalos Andrew dan Rusdianto Rusmadi.
Julius Jaranding pula disenaraikan bagi kategori penglihatan. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi