Enam Kampung Sertai Dialog Pembangunan Sarawakku Sayang DUN Jemoreng Siri 5
MATU: Enam kampung terlibat dalam Dialog Pembangunan Sarawakku Sayang Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng Siri 5 bagi Zon Loba Balu, menjadi platform untuk penduduk mengemukakan pelbagai isu berkaitan kemudahan asas dan persekitaran setempat.
Enam kampung berkenaan ialah Kampung Loba Balu, Kampung Sok, Kampung Halud, Kampung Bertong, Rh Entoi dan Rh Bareng.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato’ Murshid DiRaja Datuk Dr. Juanda Jaya berkata, sesi dialog berkenaan penting bagi membolehkan pihaknya mendengar secara langsung permasalahan yang dihadapi penduduk di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, antara isu yang dibangkitkan penduduk termasuk kehadiran haiwan liar atau ganas, isu pemutihan tanah perkuburan Islam, masalah berkaitan parit, isu internet dan sebagainya.
"Pelbagai isu telah dikemukakan penduduk dan perkara seperti ini perlu kita ambil maklum supaya tindakan susulan dapat dikenal pasti serta dibawa kepada agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Dialog Pembangunan Sarawakku Sayang DUN Jemoreng di Dewan Kampung Loba Balu, pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng turut memberitahu bahawa, dialog pembangunan seperti itu akan terus menjadi ruang bagi kerajaan mendengar suara rakyat dan mendapatkan maklum balas secara langsung berkaitan keperluan masyarakat.
Tambahnya, kerjasama erat antara penduduk, pemimpin masyarakat dan agensi kerajaan penting bagi memastikan setiap isu yang dibangkitkan dapat ditangani secara tersusun demi meningkatkan kesejahteraan masyarakat di DUN Jemoreng. - EDISI UKAS