RM63,000 Dana MRP Disalur Kepada JKKK, Kelab Dan Persatuan Di Matu
MATU: Sebanyak RM63,000 peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) telah disalurkan kepada enam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan lima kelab serta persatuan di kawasan Matu bagi menyokong pelaksanaan aktiviti serta pembangunan komuniti setempat.
Peruntukan tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Dato’ Murshid DiRaja Dr. Juanda Jaya, di sini, pada Khamis.
Penyaluran peruntukan itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan dalam membantu pertubuhan dan komuniti melaksanakan pelbagai program yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Antara JKKK yang terlibat ialah Kampung Bertong, Kampung Sok, Kampung Loba Balu, Kampung Halud dan RH Entoi masing-masing menerima RM 5,000 dan RH Bareng menerima RM 3,000.
Manakala, bagi kelab dan persatuan yang terlibat ialah Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) masing-masing menerima RM 10,000.
Jawatankuasa Wisma Persekutuan Matu, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Pertanian Matu masing-masing menerima RM 5,000.
Dalam pada itu, Datuk Dr. Juanda berharap agar peruntukan yang disalurkan dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi menjayakan aktiviti yang dirancang serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.
Beliau turut menegaskan kerajaan akan terus menyokong inisiatif pembangunan komuniti demi meningkatkan kesejahteraan rakyat di kawasan DUN Jemoreng. - EDISI UKAS