JKKK Perlu Aktif Jadi Penghubung Masyarakat, Kerajaan
MATU: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu memainkan peranan aktif sebagai penghubung antara masyarakat dengan kerajaan bagi memastikan isu dan keperluan penduduk di peringkat akar umbi dapat dikenal pasti serta diberi perhatian sewajarnya.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Dato’ Murshid DiRaja Datuk Dr. Juanda Jaya berkata, peranan JKKK amat penting kerana mereka lebih dekat dengan keadaan dan keperluan masyarakat di kawasan masing-masing.
“JKKK perlu sentiasa mengetahui keadaan semasa di kawasan masing-masing serta memastikan kampung sentiasa terjaga, selamat dan terkawal,” katanya ketika mengadakan sesi perjumpaan bersama JKKK Zon Loba Balu di Dewan Kampung Loba Balu, pada Khamis.
Sesi berkenaan melibatkan enam JKKK, iaitu Kampung Loba Balu, Kampung Sok, Kampung Halud, Kampung Bertong, Rh Entoi dan Rh Bareng.
Pertemuan tersebut turut menjadi platform bagi wakil rakyat dan pemimpin akar umbi bertukar pandangan, berkongsi maklumat serta membincangkan perkembangan dan keperluan masyarakat setempat.
Datuk Dr Juanda menambah, komunikasi dan kerjasama berterusan antara wakil rakyat dengan pemimpin akar umbi penting bagi memastikan maklumat berkaitan keperluan penduduk dapat disampaikan dengan lebih berkesan.
Beliau dalam pada itu turut menggalakkan JKKK untuk terus memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat kerajaan kepada masyarakat serta membantu mengenal pasti isu yang memerlukan perhatian dan tindakan. - EDISI UKAS