399 Bakul Makanan Disalur Kepada KIR Zon Loba Balu, Ringankan Beban Penduduk
MATU: Sebanyak 399 bakul makanan diagihkan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) di Zon Loba Balu dalam Program Agihan Mesra Rakyat, pada Khamis.
Agihan daripada Pusat Khidmat DUN Jemoreng menerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Matu (LAKIM) tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato’ Murshid DiRaja Dr. Juanda Jaya.
Melalui agihan tersebut, beliau berharap ia dapat membantu mengurangkan beban perbelanjaan harian penerima, khususnya dalam mendapatkan barangan keperluan asas untuk keluarga.
"Diharapkan bantuan ini dapat mengurangkan beban perbelanjaan harian penerima, khususnya dalam mendapatkan barangan keperluan asas keluarga," katanya.
Jumlah bantuan melibatkan 30 bakul di RH Entoi, 12 bakul di RH Bareng, 160 bakul di Kampung Loba Balu, 50 bakul di Kampung Halud, 84 bakul di Kampung Sok dan 64 bakul di Kampung Bertong.
Bakul makanan yang diagihkan mengandungi barangan keperluan asas harian seperti beras, minyak masak dan barangan makanan lain bagi membantu memenuhi keperluan keluarga penerima.
Dalam pada itu, Datuk Dr. Juanda turut berkesempatan menyampaikan sumbangan kepada empat penerima di sekitar sekitar Zon Loba Balu sempena Program Sentuhan Kasih sebagai usaha membantu meringankan beban penerima dan keluarga mereka dalam memenuhi keperluan harian.
Selain menyampaikan sumbangan, program ziarah itu turut menjadi wadah untuk mendekati masyarakat, bertanya khabar serta memberikan kata-kata semangat kepada warga emas yang sedang berdepan ujian kesihatan.
Inisiatif berkenaan bukan sahaja mencerminkan keprihatinan pemimpin terhadap kebajikan rakyat, malah mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat setempat melalui pendekatan turun padang yang berterusan.
Para penerima melahirkan rasa syukur dan gembira bukan sahaja kerana menerima sumbangan, malah berpeluang bertemu serta beramah mesra dengan wakil rakyat mereka yang sentiasa mengambil berat akan kebajikan penduduk di kawasan DUN Jemoreng. - EDISI UKAS