MPKS Tegas Pastikan Kontraktor Patuhi Standard Penyelenggaraan
KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) mengambil tindakan susulan terhadap kerja penyelenggaraan yang didapati belum mencapai tahap perkhidmatan ditetapkan bagi memastikan kualiti perkhidmatan awam di kawasan seliaannya terus terjamin.
Perkara itu dikenal pasti menerusi pemantauan turun padang yang diketuai Pengerusi Perbandaran MPKS, Kr. Abang Ismawi Abang Ali bersama Ahli-Ahli Majlis Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang di beberapa lokasi yang menerima aduan penduduk, pada Khamis.
Pemantauan memberi tumpuan kepada kerja pemotongan rumput dan penyelenggaraan sistem perparitan, khususnya di kawasan Taman Desa Ilmu.
Hasil tinjauan mendapati terdapat kerja penyelenggaraan oleh kontraktor dilantik yang masih belum mencapai tahap perkhidmatan ditetapkan dan memerlukan tindakan segera.
Sehubungan itu, MPKS akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kontraktor terlibat bagi memastikan setiap skop kerja dilaksanakan mengikut spesifikasi, standard dan tahap perkhidmatan yang ditetapkan.
Pendekatan turun padang turut membolehkan MPKS menilai keadaan sebenar di lapangan serta mengenal pasti tindakan pembaikan yang diperlukan dengan lebih tepat, khususnya berkaitan kebersihan, sistem perparitan dan penyelenggaraan kawasan perumahan.
MPKS akan meneruskan pemantauan berkala bagi memastikan kerja penyelenggaraan dilaksanakan secara konsisten dan memenuhi tahap perkhidmatan yang ditetapkan demi keselesaan serta keselamatan penduduk.
Langkah itu selaras dengan komitmen MPKS untuk memastikan aduan rakyat diberi perhatian dan ditangani secara responsif, di samping memperkukuh penyampaian perkhidmatan pihak berkuasa tempatan yang lebih cekap dan berkesan.-EDISI UKAS