Para Boling Sarawak Tidak Gentar Cabaran Selangor, Sasar Lima Emas
KUALA LUMPUR: Selepas dua tahun melakukan persiapan, skuad para boling tenpin Sarawak hadir ke Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) XXII Selangor 2026 dengan keyakinan tinggi untuk mencabar tuan rumah, Selangor, yang dilihat sebagai pencabar utama kontinjen negeri itu.
Ketua jurulatih para boling Sarawak, Myron Khoo Hock Ming berkata, persiapan 22 atlet yang dibawa ke temasya kali ini berada pada tahap meyakinkan, malah lebih tersusun berbanding edisi lalu.
“Setakat ini persediaan memang tiada masalah. Berbanding dua tahun lalu, kali ini kita sudah cukup bersedia dan semua atlet menjalani latihan dengan baik.
“Semalam kita juga melihat Selangor menjalani latihan dan mereka memang bagus. Jadi, Selangor memang kita anggap sebagai saingan utama kali ini,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini pada Jumaat.
Sarawak mempertaruhkan 22 atlet, 10 jurulatih dan tujuh pengiring, dengan atlet dibahagikan kepada tujuh kategori melibatkan kategori TPB, tiga kategori cacat penglihatan, B4 (masalah pembelajaran), kerusi roda serta kategori kecacatan tangan dan kaki.
Bagaimanapun, misi mempertahankan pencapaian cemerlang pada edisi terdahulu bukan tugas mudah apabila faktor had umur menyebabkan beberapa atlet berpengalaman Sarawak tidak lagi layak beraksi.
Situasi itu menyaksikan skuad kali ini tampil dengan kombinasi atlet lama dan muka baharu, termasuk seorang atlet perempuan berusia 12 tahun dari Batu Kawa yang bakal membuat penampilan di Para SUKMA.
Jelas Myron, perubahan komposisi pasukan itu menjadikan cabaran kali ini berbeza, namun tidak mengubah sasaran Sarawak untuk terus memburu emas.
“Kita ada had umur kali ini, jadi atlet senior yang menjadi tonggak sebelum ini tidak dapat menyertai temasya. Sebab itu kali ini kita bawa lebih ramai atlet baharu.
Pada Para SUKMA dua tahun lalu, skuad para boling Sarawak mencatat pencapaian membanggakan dengan meraih tujuh emas, dua perak dan tujuh gangsa.
Namun, Myron tidak mahu pencapaian tersebut menjadi tekanan kepada pasukannya, sebaliknya menjadikannya sebagai penanda aras untuk terus memperbaiki prestasi.
Untuk edisi Selangor 2026, Sarawak menyasarkan sekurang-kurangnya lima emas, tiga perak dan tiga gangsa, dengan sasaran emas itu masih boleh ditingkatkan sekiranya atlet berjaya memanfaatkan peluang di lorong pertandingan.
“Target kita lima pingat emas, tetapi kita memang mahu lebih daripada itu. Untuk perak kita sasarkan tiga dan gangsa tiga.
“Harapnya kita boleh dapat lebih banyak emas daripada sasaran yang ditetapkan,” katanya. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi