Langkah Pertama Si Bongsu: Rosseriine Issawell Sedia Lakar Kejutan Di Para SUKMA
KUALA LUMPUR: Di saat kanak-kanak seusianya sedang leka dengan dunia persekolahan dan permainan, Rosserrine Issawell Manong Raymond, yang baru berusia 12 tahun, memilih jalan yang berbeza.
Beliau kini berdiri sebagai antara atlet paling bongsu yang bakal menggalas cabaran Sarawak dalam acara tenpin boling di temasya Para SUKMA.
Anak bongsu daripada empat beradik dan murid dari Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Stapok ini bakal bersaing dalam kategori TPB10 walaupun baharu setahun lebih mengenali dunia tenpin boling, kesungguhan serta iltizam yang ditunjukkannya membuktikan bahawa saiz dan usia hanyalah sekadar angka.
Menceritakan perjalanan awal penglibatannya, Rosserrine secara jujur mengakui bahawa sukan ini bukanlah minat utamanya pada permulaan.
Namun, selepas setahun berlatih dan merasai kehangatan lontaran bola di lorong boling, hatinya mula terpaut.
"Dulu saya memang tidak minat boling, tapi sekarang dah minat sangat," katanya.
Apabila ditanya mengenai sasaran pingat pada penampilan sulungnya ini, atlet cilik ini tidak meletakkan tekanan yang tinggi pada dirinya.
Bagi Rosserrine, nilai sebuah pengalaman adalah perhiasan terindah dalam penampilan pertamanya di pentas berprestij ini.
"Janji dapat pingat...emas, perak atau gangsa. Sekiranya tidak dapat sekalipun, yang paling penting saya dapat pengalaman," ujarnya lagi.
Semangat juang, ketulusan, serta sikap pantang menyerah menjadi langkah pertama si bongsu ini di lorong Para SUKMA akan menjadi inspirasi bukan sahaja buat rakan sepasukan, malah buat seluruh kontinjen Sarawak. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi