LCDA Raih Pengiktirafan Asia-Pasifik Menerusi Projek Pembangunan Semula Darul Hana
TAIPEI: Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) menerima pengiktirafan ‘Asia-Pacific Sustainability Action Awards’ (APSAA) 2026 menerusi Projek Pembangunan Semula Darul Hana.
Pengiktirafan tersebut diterima di bawah kategori ‘Sustainability Action Award Social Inclusion’, yang mengetengahkan inisiatif berimpak dalam aspek keterangkuman sosial dan pembangunan mampan.
Anugerah itu telah diterima oleh Pengurus Kanan Bahagian Hal Ehwal Korporat LCDA, Saiful Bahari Amra Ramly, yang mewakili Pengurus Besar LCDA dalam majlis penyampaian anugerah di Taipei, Taiwan baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengurus Bahagian Hal Ehwal Korporat LCDA, Sapheri Rosli.
Pengiktirafan berkenaan mencerminkan pendekatan LCDA dalam melaksanakan pembangunan secara menyeluruh yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal, malah mengambil kira penglibatan pemegang taruh, transformasi sosioekonomi, kesejahteraan komuniti serta pembangunan semula bandar yang mampan.
Melalui Projek Pembangunan Semula Darul Hana, LCDA berusaha memastikan pembangunan dilaksanakan secara seimbang dengan mengambil kira keperluan dan kepentingan komuniti setempat menerusi pendekatan berteraskan komuniti.
Usaha tersebut juga bertujuan mewujudkan pembangunan yang mampu memberikan nilai dan manfaat jangka panjang kepada masyarakat, di samping memperkukuh pelaksanaan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam pelbagai inisiatif pembangunan LCDA.
APSAA merupakan program anugerah kelestarian serantau anjuran Institut Tenaga Lestari Taiwan atau Taiwan Institute for Sustainable Energy (TAISE) yang melibatkan penyertaan pelbagai organisasi dari rantau Asia-Pasifik.
Pengiktirafan tersebut sekali gus memperkukuh kedudukan LCDA dalam agenda pembangunan mampan serta membuktikan komitmen berterusan organisasi itu untuk melaksanakan pembangunan yang memberi manfaat kepada komuniti dan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi Sarawak.-EDISI UKAS