Kerajaan Sarawak Salur RM100,000 Kepada Setiap Keluarga Petugas FDS, Yuran Pendidikan Anak-Anak Ditanggung
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menyalurkan sumbangan RM100,000 kepada setiap keluarga petugas Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terkorban dalam nahas helikopter berhampiran Long Lellang, selain menanggung sepenuhnya yuran pendidikan anak-anak mereka yang masih bersekolah melalui Yayasan Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bersetuju agar bantuan berkenaan disalurkan sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Sarawak serta bagi membantu meringankan beban keluarga dan waris yang terlibat.
Menurut kenyataan Kerajaan Sarawak pada Rabu, tanggungan penuh yuran pendidikan itu turut mencerminkan penghargaan terhadap pengorbanan para petugas berkenaan yang telah memberikan perkhidmatan kepada rakyat, khususnya masyarakat di kawasan pedalaman.
Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak menzahirkan rasa dukacita yang amat mendalam serta merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga dan waris petugas FDS yang terkorban dalam nahas berkenaan pada Selasa, 8 September 2026, kira-kira jam 3.58 petang.
Para petugas berkenaan sedang melaksanakan amanah membawa perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman yang sukar dihubungi melalui jalan darat.
Khidmat bakti mereka mencerminkan komitmen dalam memastikan rakyat, tanpa mengira lokasi dan keadaan, terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang diperlukan.
Kerajaan Sarawak menyifatkan pemergian mereka sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga dan rakan seperkhidmatan, malah kepada seluruh rakyat Sarawak.
Jasa, dedikasi, keberanian dan pengorbanan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab demi kesejahteraan rakyat, khususnya masyarakat di kawasan pedalaman, amat besar nilainya dan akan terus dikenang.
Dalam suasana penuh kesedihan itu, Kerajaan Sarawak turut menyatakan solidariti bersama keluarga dan waris yang ditinggalkan serta mendoakan mereka dikurniakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.-EDISI UKAS