Program Penerangan PCDS 2030 Perkukuh Kefahaman Rakyat Bukit Begunan Terhadap Inisiatif Pembangunan
SRI AMAN: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan mendapat pendedahan lebih menyeluruh mengenai pelbagai inisiatif, dasar dan perancangan pembangunan Kerajaan Sarawak menerusi Majlis Taklimat dan Penerangan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman pada Isnin.
Program berkenaan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap hala tuju pembangunan negeri, khususnya berkaitan penyediaan kemudahan asas, pembangunan infrastruktur, pendidikan, perumahan serta bantuan dan peluang ekonomi untuk rakyat.
Antara fokus utama ialah perancangan pembangunan di kawasan Bukit Begunan yang merangkumi penambahbaikan liputan telekomunikasi, bekalan air terawat, bekalan elektrik dan jaringan jalan raya.
Sehubungan itu, wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), Sarawak Alternative Financing Agency (SACOFA), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak menyampaikan penerangan mengenai inisiatif serta perancangan pembangunan mengikut bidang tanggungjawab masing-masing.
Program dimulakan dengan sesi ceramah oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Abdul Samat Gany, diikuti penerangan mengenai PCDS 2030 oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Angellie Stephen Raja.
Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Rosaline Neging turut berkongsi mengenai pelbagai inisiatif Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, dalam memperkukuh pembangunan negeri serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Sesi petang pula memberi penekanan kepada peluang pendidikan dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), skim perlindungan keselamatan sosial bagi golongan bekerja sendiri dan suri rumah serta bantuan kewangan berkaitan perumahan.
Turut diberikan penerangan ialah inisiatif pembangunan perumahan, bantuan pembelian rumah dan bantuan sewaan kediaman di bawah Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC).
Selain itu, JKR Sarawak turut berkongsi mengenai perancangan pembangunan infrastruktur jalan raya di kawasan Bukit Begunan bagi meningkatkan kefahaman penduduk terhadap usaha penambahbaikan kesalinghubungan dan kemudahan asas setempat.
Penganjuran program itu turut menyediakan ruang interaksi secara langsung antara masyarakat dengan wakil jabatan dan agensi kerajaan menerusi sesi taklimat serta pameran yang diadakan.
Pendekatan berkenaan membolehkan penduduk mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai kemudahan, syarat kelayakan dan tatacara permohonan bantuan yang disediakan kerajaan.
Penganjuran program itu mencerminkan usaha berterusan dalam memperluas penyampaian maklumat pembangunan kepada masyarakat, sekali gus memastikan rakyat di kawasan luar bandar turut mendapat akses kepada maklumat mengenai inisiatif Kerajaan Sarawak selaras dengan aspirasi PCDS 2030.-EDISI UKAS