KUCHING: Seramai 1,163 peserta menyertai program Sarawak AeroBig Day 2026 yang berlangsung di Pustaka Negeri Sarawak, Petra Jaya, pada Ahad.
Program anjuran Persatuan Kebajikan Bantuan Komuniti Terpinggir Sarawak (Bantu Sarawak) yang dihadiri Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Kho Teck Wan bagi menggalakkan gaya hidup sihat, mengeratkan perpaduan masyarakat serta menyemai semangat kebajikan dalam kalangan komuniti.
Penganjuran di Kuching merupakan lokasi kelima dan kemuncak terakhir bagi siri Sarawak AeroBig Day 2026 selepas Miri, Bintulu, Sibu dan Sri Aman dengan keseluruhan penyertaan mencecah 4,372 peserta di lima lokasi di seluruh Sarawak.
Selain menggalakkan aktiviti kecergasan, program itu turut membawa misi kebajikan menerusi kutipan dana bagi menyokong Projek Noah’s Ark, khususnya untuk membantu kanak-kanak daripada golongan kurang berkemampuan dan komuniti terpinggir.
Pada program berkenaan, penganjur turut menempah 1,500 bungkus nasi lemak untuk diagihkan kepada peserta, sekali gus menyokong peniaga tempatan melalui pembelian produk makanan bagi membantu menjana pendapatan mereka.
Gerakan yang bermula di Miri pada 2023 itu terus berkembang sebagai platform yang menggabungkan aktiviti kecergasan, perpaduan masyarakat dan amalan kebajikan tanpa mengira kaum, umur atau latar belakang.
Penganjuran itu selaras dengan seruan “Jom Amal, Jom Aerobik!” yang menekankan kepentingan gaya hidup sihat serta penglibatan masyarakat dalam usaha membantu golongan yang memerlukan. -EDISI UKAS