Sri Aman Heart Day 2026 Bakal Berlangsung 7 November
SRI AMAN: Program Sri Aman Heart Day 2026 bakal berlangsung di Tebingan Sungai Bandar Simanggang pada 7 November ini yang akan bermula 6.30 pagi.
Program itu menyasarkan penyertaan seramai 400 peserta sebagai platform meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan jantung dan amalan gaya hidup sihat.
Persiapan bagi menjayakan program berkenaan dibincangkan menerusi Mesyuarat Penyelarasan Program Sri Aman Heart Day 2026 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Sri Aman, pada Isnin.
Mesyuarat itu turut membincangkan persiapan meliputi penyediaan kelengkapan program, urusan jemputan dan protokol, penginapan serta jamuan bagi memastikan kelancaran penganjuran.
Penyelarasan melibatkan beberapa agensi dan pertubuhan termasuk Pejabat Residen Sri Aman, Pejabat Daerah Sri Aman, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sri Aman, Saberkas Lingga, Persatuan Simanggang Soon Heng Society dan Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor Sri Aman.
Antara tetamu kehormat yang dicadangkan untuk dijemput ialah Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, serta Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis. -EDISI UKAS