Memahami Adat Suku Kaum Sarawak, Peluang Emas Untuk MHEANS
KOTA SAMARAHAN: Memahami adat suku kaum di Sarawak disifatkan sebagai peluang emas untuk Sabah.
Presiden Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS), Dr. Tindarama Bernedict Tapin berkata, ke arah itu memperkayakan pemahaman mengenai budaya tempatan, satu pertemuan telah dilakukan bersama Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS).
Menurut beliau, pertemuan itu bertujuan untuk memaparkan adat-adat suku kaum di Sarawak, yang jarang diketahui di Sabah.
"Sarawak mempunyai pelbagai adat resam yang unik yang mungkin tidak banyak diketahui di Sabah.
"Selain dari mendalami adat-adat suku kaum yang jarang kita temui di Sabah, kunjungan ini juga memberi kita peluang untuk melihat secara lebih terperinci tentang pendokumentasian adat resam di Sarawak.
“Sarawak mempunyai banyak dokumentasi mengenai adat dan budaya mereka yang boleh dijadikan rujukan untuk memperkaya pengetahuan kita di Sabah," ujar Dr. Tindarama.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan Lawatan Penanda Aras di Bangunan MAIS di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa usaha ini tidak hanya bertujuan untuk memahami tetapi juga mengadaptasi dan memanfaatkan kejayaan dalam dokumentasi adat di Sarawak.
Sehubungan itu, Dr. Tindarama Bernedict mengakui bahawa Sabah agak ketinggalan dalam aspek pemahaman dan penghayatan adat berbanding di Sarawak.
Beliau juga menekankan bahawa penubuhan sekolah adat adalah langkah awal menuju mewujudkan institusi pembelajaran adat di Sabah.
"Kami agak ketinggalan sedikit di Sabah dalam hal ini. Namun, pertemuan kami hari ini dengan pengasas sekolah adat memberi kami peluang untuk memulakan langkah yang penting.
"Penubuhan sekolah adat ini adalah langkah awal menuju mewujudkan institusi pembelajaran adat di Sabah.
"Salah satu kerjasama yang akan kami jalankan adalah untuk mewujudkan satu institusi pembelajaran adat. Adat bukan sahaja merupakan warisan budaya kita tetapi juga memainkan peranan penting dalam sistem undang-undang dan keadilan kita," tambahnya.
Dr. Tindarama juga berharap usaha ini akan membuka lebih banyak peluang kerjasama di masa hadapan, memajukan pemahaman mengenai adat dan memperkukuh identiti budaya tempatan di Sabah.
Hadir sama dalam lawatan adalah Ketua MAIS, Datu Ronnie Edward, Setiausaha MAIS, Mackos Sibong serta tetamu kehormat lain.-EDISI UKAS