Pertambahan Kerusi DUN & Parlimen, Dua Proses Berbeza
MUKAH: Pertambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak daripada 82 kepada 99 tidak bermakna pertambahan kerusi Parlimen secara automatik, sebaliknya merupakan langkah memperkukuh representasi rakyat mengikut keperluan semasa negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine yang juga Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak berkata, perkara itu perlu difahami dengan jelas kerana proses pertambahan kerusi DUN dan Parlimen tertakluk kepada mekanisme serta bidang kuasa berbeza.
“Kerusi DUN bukan mesin fotostat. Tambah satu kerusi DUN tidak bermakna secara automatik akan lahir satu kerusi Parlimen. Kalau semudah itu, semua negeri sudah lama menambah kerusi Parlimen mengikut kehendak masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada UKAS ketika mengadakan lawatan ke Pameran Persempadanan DUN Tellian di Ruang Galeria, Pejabat Daerah Mukah, pada Khamis.
Menurutnya, pertambahan kerusi DUN Sarawak mengambil kira keperluan kawasan yang luas, pesat membangun serta mempunyai cabaran geografi unik bagi memastikan representasi rakyat dan penyampaian perkhidmatan dapat diperkukuh.
Beliau menjelaskan bahawa sebarang pertambahan kerusi Parlimen pula merupakan proses berasingan yang memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan serta sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
Mengulas kenyataan Pergerakan Pemuda Sosialis Demokratik (DAPSY) Sarawak berhubung perkara itu, Royston berkata, perbezaan antara kedua-dua proses perlu difahami agar perbahasan mengenai persempadanan tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Pada masa sama, beliau menegaskan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kekal komited memperjuangkan kepentingan dan hak Sarawak melalui saluran Perlembagaan, undang-undang serta rundingan di peringkat Persekutuan, termasuk usaha berkaitan pemulihan satu pertiga kerusi Parlimen Sarawak.
Sementara itu, pameran tersebut memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan maklumat mengenai cadangan persempadanan DUN serta memahami perubahan yang dicadangkan, khususnya berkaitan kawasan Tellian dan Bahagian Mukah.
Turut hadir Residen Bahagian Mukah, Bujang Rahman Seli, Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip dan Pegawai Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Mukah, Hafizzul Abdul Halim.- EDISI UKAS