Nisbah Perwakilan Parlimen Sabah, Sarawak Akan Ditingkatkan
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan bersetuju secara prinsip supaya nisbah perwakilan Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak ditingkatkan daripada kedudukan semasa, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang penambahan kerusi Parlimen pada masa hadapan perlu memastikan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak menjadi lebih tinggi dan bukan sekadar mengekalkan nisbah sedia ada.
Menurut beliau, perkara itu telah dipersetujui Jemaah Menteri pada Rabu lalu dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah dimaklumkan untuk memulakan proses serta rundingan berkaitan.
“Penambahan Ahli Parlimen itu bidang kuasa SPR. Maknanya mungkin ada penambahan juga dari Semenanjung, penambahan dari Sabah dan Sarawak.
“Tetapi penambahan ini tidak boleh menjejaskan prinsip bahawa nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak itu harus lebih tinggi daripada yang ada sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, pada Jumaat.
Hadir sama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Anwar berkata, ketika pembentukan Malaysia pada 1963 yang turut melibatkan Singapura, Sabah dan Sarawak, gabungan wilayah berkenaan mempunyai kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan perwakilan.
Justeru katanya, prinsip yang kini dipersetujui ialah memastikan sebarang penambahan kerusi turut membawa kepada peningkatan nisbah penyertaan Sabah dan Sarawak.
“Penambahan itu boleh jadi mengelirukan. Tambah tidak bermakna ia mungkin hanya menyamakan seperti mana yang ada.
“Jadi, penambahan dengan peningkatan nisbah penyertaan Sabah dan Sarawak, itu yang penting,” jelasnya.
Menurut Perdana Menteri, mekanisme terperinci berhubung perkara itu akan dibincangkan bersama SPR, kerajaan negeri serta parti-parti berkaitan.
Ditanya sama ada perubahan tersebut dapat dilaksanakan sebelum pilihan raya akan datang, beliau berkata, perkara itu bergantung kepada proses yang perlu dilalui termasuk keperluan berkaitan Perlembagaan.
“Saya fikir kalau untuk pilihan raya ini, saya tidak pasti boleh sempat atau tidak sebab kena manfaatkan kemudian ada proses.
“Saya tidak mahu ganggu proses Perlembagaan. Tetapi yang penting keputusan dibuat dan SPR telah dimaklumkan,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan MA63 perlu dilihat sebagai komitmen dan naratif nasional, bukan sebagai isu bersifat sektoral atau kepentingan Sabah dan Sarawak semata-mata.
Menurutnya, pendekatan tersebut penting supaya seluruh rakyat memahami bahawa usaha memenuhi perkara yang dipersetujui menerusi MA63 merupakan sebahagian daripada komitmen negara untuk memperkukuh Malaysia.-EDISI UKAS