20 Mesin Glucometer Diserah Kepada Klinik Kesihatan Bintangor
BINTANGOR: Sebanyak 20 unit mesin glucometer diserahkan kepada Klinik Kesihatan Bintangor bagi memperkukuh kemudahan pemantauan paras gula dalam darah untuk masyarakat setempat.
Penyerahan tersebut disempurnakan dalam satu upacara ringkas yang dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing di Klinik Kesihatan Bintangor, pada Rabu.
Dalam kunjungan sama, Datuk Ding turut meninjau kemudahan kantin klinik yang telah siap dinaik taraf bagi meningkatkan keselesaan pesakit dan warga kerja.
Antara penambahbaikan yang dilaksanakan termasuk menaik taraf pendawaian bekalan elektrik, memasang penghawa dingin dan kipas serta menggantikan semua cermin dan pintu di kantin berkenaan.
Kemudahan yang lebih selesa dan baik itu dapat menyokong persekitaran yang lebih kondusif kepada pesakit selain membantu warga kerja Klinik Kesihatan Bintangor menjalankan tugas seharian.
Penyerahan mesin glucometer pula merupakan salah satu usaha membantu meningkatkan kemudahan serta perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat setempat, khususnya dalam pemantauan paras gula dalam darah.
Datuk Ding turut menzahirkan harapan agar segala kemudahan dan sumbangan yang disalurkan dapat dimanfaatkan sebaiknya bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan Meradong.
Turut hadir Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Bahagian Sarikei merangkap Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Bintangor, Ley Chee Hua; Timbalan Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Bintangor, Dr Wong Wei Wei; Setiausaha Panel Penasihat Klinik Kesihatan Bintangor, Felix Francis; Bendahari Panel Penasihat Klinik Kesihatan Bintangor, Lee Ngin Soon serta ahli-ahli panel Kesihatan Bintangor yang lain.- EDISI UKAS