MRP Perlu Diagih Lebih Menyeluruh, Komuniti Tercicir Diberi Perhatian
BINTULU: Agihan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) perlu diperluas secara lebih menyeluruh bagi memastikan komuniti yang belum pernah menerima bantuan kerajaan turut dikenal pasti dan diberi peluang mendapatkan manfaat pembangunan.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, usaha mengenal pasti rumah panjang yang masih belum pernah mengemukakan permohonan MRP penting bagi memastikan agihan bantuan tidak hanya tertumpu kepada penerima yang sama.
Menurut beliau, semakan terhadap senarai rumah panjang mendapati masih terdapat komuniti yang belum pernah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan peruntukan berkenaan.
“Sebagai wakil rakyat, saya perlu mencari dan mengenal pasti rumah panjang ini agar mereka juga diberi peluang menerima bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek MRP bagi kawasan DUN Kemena, di Pejabat Jabatan Pertanian Bahagian Bintulu, pada Khamis.
Dato Sri Dr Stephen Rundi berkata, pendekatan berkenaan membolehkan keperluan komuniti yang belum pernah menerima peruntukan dikenal pasti, sekali gus membantu memastikan bantuan kerajaan dapat disalurkan dengan lebih menyeluruh.
Sehubungan itu, beliau turut menyeru masyarakat setempat memaklumkan kewujudan rumah panjang yang belum pernah memohon MRP supaya tindakan susulan dapat diambil.
Pada majlis tersebut, seramai 89 penerima menerima peruntukan MRP berjumlah RM1.23 juta bagi kawasan DUN Kemena.—EDISI UKAS