DAC Mukah Pantau Projek Pembangunan, Pastikan Manfaat Sampai Kepada Rakyat
MUKAH: Pelaksanaan projek pembangunan di kawasan Parlimen Mukah serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian dan Balingian terus dipantau bagi memastikan projek berjalan mengikut jadual dan manfaatnya sampai kepada rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, pemantauan serta penyelarasan berterusan antara agensi penting bagi memastikan setiap projek dapat dilaksanakan dengan lancar dan sebarang isu yang timbul ditangani segera.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan (DAC) Daerah Mukah Bil. 1/2026 di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Mukah, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Mukah, pada Khamis.
Menurutnya, projek yang sedang dilaksanakan dan dirancang perlu diberi perhatian sewajarnya supaya penyampaian pembangunan dapat diterjemahkan kepada manfaat yang benar-benar dirasai masyarakat.
Mesyuarat yang dipengerusikan Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip itu membincangkan status projek yang telah siap, sedang dilaksanakan serta projek yang dirancang di kawasan berkenaan, melibatkan projek di bawah Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.
Royston berkata, kerjasama antara agensi teknikal dan pelaksana amat penting dalam memastikan kemajuan projek dipantau secara berterusan, selain mengenal pasti dan menyelesaikan sebarang kekangan yang boleh menjejaskan pelaksanaannya.
Antara agensi yang terlibat ialah Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Mukah, Jabatan Tanah dan Survei Mukah, Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM), Rajang Delta Development Agency (RADDA), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Sarawak Energy Berhad (SEB), Jabatan Pertanian, Pejabat Kesihatan Bahagian Mukah, Pejabat Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan (MYSED), Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), CRAUN Research Sdn. Bhd., serta Pusat Khidmat Masyarakat Mukah, Tellian, dan Balingian.
Mesyuarat DAC menjadi platform penyelarasan antara agensi bagi memastikan projek pembangunan di peringkat daerah dipantau secara sistematik, isu pelaksanaan dapat ditangani dan perancangan pembangunan memberi impak kepada rakyat.
Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Mukah, Nolin Gendang dan wakil agensi teknikal serta pelaksana.- EDISI UKAS