Sarawak Energy Komited Bantu Pelanggan Tangani Isu Bil Elektrik
KUCHING: Sarawak Energy Berhad (Sarawak Energy) terus komited membantu pelanggan menangani isu bil elektrik menerusi pelbagai saluran perkhidmatan, termasuk pembukaan kaunter khas urusan bil di seluruh Sarawak sepanjang September.
Menurut kenyataan media Sarawak Energy pada Khamis, langkah itu susulan kenyataan pada 6 September lalu berhubung saluran perkhidmatan pelanggan bagi menangani isu bil elektrik, termasuk menyediakan khidmat secara bersemuka bagi membolehkan isu bil disemak dengan lebih terperinci.
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat SESCO Berhad (SESCO), cabang operasi dan runcit Sarawak Energy, Yusri Safri berkata, pelanggan yang terlibat dalam 24 kes yang dibangkitkan menerusi media sosial baru-baru ini telah dihubungi, manakala semakan sedang dijalankan bagi setiap kes.
“Kami mendengar isu yang dibangkitkan pelanggan dan mahu membantu. Walaupun aduan mengenai bil elektrik yang lebih tinggi hanya melibatkan sebahagian kecil daripada kira-kira 830,000 pemegang akaun SESCO, kami memahami bahawa setiap kes boleh memberi kesan besar kepada pelanggan dan keluarga mereka.
“Sebab itu, setiap isu akan diberi perhatian dan bantuan yang sewajarnya,” katanya.
Yusri berkata, bil elektrik yang lebih tinggi boleh berpunca daripada beberapa faktor termasuk peningkatan penggunaan elektrik, pelarasan selepas tempoh bacaan anggaran, baki tertunggak daripada bil terdahulu atau keadaan lain berkaitan akaun pelanggan.
Menurutnya, setiap kes dinilai berdasarkan keadaan masing-masing, manakala aduan dan rayuan diteliti secara adil dan, jika wajar, pelarasan atau pengecualian caj akan dibuat selepas semakan.
Mengulas mengenai meter pintar, beliau menjelaskan bahawa penggantian meter sedia ada kepada meter pintar tidak menyebabkan penggunaan elektrik atau tarif yang dikenakan meningkat secara automatik.
Sebaliknya, Sarawak Energy turut menerima maklum balas positif daripada pelanggan meter pintar, khususnya fungsi yang membolehkan mereka memantau penggunaan elektrik harian dan mengurus penggunaan dengan lebih baik.
Sehingga kini, sebanyak 270,748 meter pintar telah dipasang di seluruh Sarawak.
Dalam pada itu, kaunter khas urusan bil elektrik terus beroperasi sehingga akhir September, dari jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang, Isnin hingga Jumaat, di Wisma SESCO, Kuching; Pejabat Wilayah Sibu, Jalan Deshon; Bandar Baru Permyjaya, Miri dan Bintulu Town Square.
Pelanggan yang memerlukan bantuan juga boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 1300-88-3111, menghantar e-mel ke customercare@sarawakenergy.com, menggunakan aplikasi mudah alih SEB cares atau mengunjungi mana-mana kaunter khidmat pelanggan Sarawak Energy.- EDISI UKAS