Rumah Nanga Selidi Terima RTP Berjumlah RM250,000 Sediakan Tapak Rumah Baharu Untuk 23 Pintu
KAPIT: Rumah Nanga Selidi menerima peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM250,000 untuk menyediakan tapak baharu pembinaan rumah panjang 23 pintu rumah, bagi menyediakan persekitaran kediaman lebih selesa serta kemudahan asas yang lebih baik kepada komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Nicholas Kudi Jantai berkata, perancangan pembangunan rumah panjang baharu perlu dilaksanakan secara teratur dengan mengambil kira aspek kemudahan asas serta keharmonian komuniti.
Menurutnya, sebarang urusan pemisahan daripada rumah panjang asal juga perlu dilakukan secara aman dan damai bagi memastikan hubungan dalam komuniti terus terpelihara.
“Sebarang urusan pemisahan daripada rumah panjang asal perlu dilakukan secara aman dan damai supaya hubungan dalam komuniti terus terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian RTP Tapak Rumah Baharu Nanga Selidi, di sini pada Sabtu.
Nicholas berkata, komuniti yang merancang membina rumah panjang baharu digalakkan mempunyai sekurang-kurangnya 20 pintu bagi memudahkan perancangan serta pelaksanaan pembangunan.
Katanya, kerja-kerja meratakan tapak juga perlu dilaksanakan mengikut spesifikasi Jabatan Kerja Raya (JKR), termasuk penurunan dan perataan tapak sehingga 10 kaki serta memastikan bukaan tapak bersesuaian dengan pembangunan rumah panjang.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan usaha mendapatkan bekalan air boleh dilaksanakan selepas kerja-kerja meratakan tapak selesai, manakala penggunaan bateri solar bagi bekalan elektrik perlu mematuhi spesifikasi ditetapkan dan bersesuaian dengan keperluan penggunaan ringan.
Dalam pada itu, Nicholas turut menyokong permohonan tanah perkuburan baharu bagi memenuhi keperluan komuniti setempat.
Beliau turut meminta Tuai Rumah yang menghadapi masalah bekalan air, khususnya ketika musim kemarau, supaya melaporkannya kepada Pejabat Daerah untuk tindakan lanjut.
Pada majlis sama, Nicholas menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada Judson Jarrau bagi kegunaan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta komuniti rumah panjang.
Turut hadir, Timbalan Residen Bahagian Kapit, Robert Liman Deli dan Pegawai Perhubungan Komuniti URDA Baleh, Wesley Dugu. -EDISI UKAS