Sarawak Sedia Bantu KKM Perkukuh Perkhidmatan Doktor Udara
PADAWAN: Kerajaan Sarawak bersedia membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan, termasuk Perkhidmatan Doktor Udara (FDS), bagi memastikan masyarakat di kawasan pedalaman terus menerima akses kepada rawatan yang diperlukan.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, sebarang bentuk bantuan dan penambahbaikan terhadap FDS akan dibincangkan bersama KKM selepas laporan rasmi siasatan nahas helikopter yang berlaku di Long Lellang dikeluarkan.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak sebelum ini telah membuktikan komitmennya membantu memperkukuh kemudahan kesihatan apabila diperlukan, termasuk dalam aspek pendigitalan klinik kesihatan di seluruh Sarawak.
“Kerajaan Negeri sentiasa bersedia untuk membantu. Contohnya, apabila Kerajaan Persekutuan mengatakan tiada peruntukan bagi sesuatu perkara, kita masukkan dana.
“Tahun lalu, 70 peratus Klinik Kesihatan tidak mempunyai internet dan pendigitalan. Apabila KKM meminta bantuan Kerajaan Sarawak, Premier memberikan peruntukan dan hasilnya kini 70 peratus Klinik Kesihatan di Sarawak telah didigitalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menziarahi keluarga dan memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Jururawat (SN) Debra Moset di kediaman keluarganya di Kampung Semadang, di sini pada Ahad.
Mengulas nahas tersebut, Datuk Amar Dr Sim berkata, Kerajaan Sarawak tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenai puncanya sebaliknya menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa dan pakar teknikal.
“Ini bukan masa untuk menuding jari, tetapi masa untuk kita bersama-sama melihat bagaimana perkara ini boleh diselesaikan dan apa yang boleh diperbaiki.
“Kita tunggu laporan itu keluar kerana tidak ada gunanya membuat spekulasi. Orang boleh mengatakan pelbagai perkara tetapi kita perlu mendengar pandangan pakar sebenar,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata tragedi berkenaan memberi ruang kepada semua pihak untuk menilai semula kaedah penyampaian perkhidmatan kesihatan udara, khususnya dengan mengambil kira perkembangan teknologi semasa.
Antara perkara yang boleh dipertimbangkan termasuk penggunaan dron, telekonsultasi, kecerdasan buatan (AI) bagi membantu petugas perubatan, penambahan klinik serta penambahbaikan jaringan jalan raya bagi meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman.
“Teknologi seperti dron yang 10 tahun lalu belum tersedia, kini sudah ada. Kita juga perlu melihat penggunaan doktor dan jururawat yang dibantu kecerdasan buatan (AI) serta bagaimana teknologi ini boleh membantu kita bergerak ke hadapan,” katanya lagi.
Beliau dalam pada itu turut menegaskan kepentingan FDS kepada masyarakat luar bandar tidak pernah dipersoalkan kerana perkhidmatan tersebut memainkan peranan penting dalam menyampaikan rawatan kepada penduduk di kawasan yang sukar diakses melalui jalan darat.
Namun, katanya, kaedah penyampaian perkhidmatan itu perlu sentiasa dinilai dan ditambah baik bagi memastikan aspek keselamatan petugas, keberkesanan operasi serta keperluan masyarakat pedalaman dapat diseimbangkan.
Pada kesempatan sama, Datuk Amar Dr Sim menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga semua mangsa nahas dan menegaskan bahawa kehilangan mereka bukan sahaja melibatkan nyawa, malah turut menyebabkan negara kehilangan pengalaman serta kepakaran petugas kesihatan yang amat diperlukan masyarakat.
Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Jalan) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil. -EDISI UKAS