Kekayaan Sumber Zon Utara Pacu Ekonomi Baharu Sarawak
MIRI: Kekayaan sumber, kedudukan strategik serta pembangunan infrastruktur meletakkan Zon Utara Sarawak pada kedudukan penting dalam agenda peralihan negeri kepada ekonomi baharu menjelang 2030.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, wilayah itu mempunyai kelebihan dalam sektor minyak dan gas, tenaga boleh diperbaharui, pertanian, perhutanan, industri serta pelancongan yang boleh dimanfaatkan untuk menjana pertumbuhan baharu.
“Perkembangan itu antaranya dapat dilihat menerusi pengerudian minyak dan gas darat di Adong Kecil West, Miri yang kini mencatat lebih 800 tong sehari, selepas hampir 50 tahun Sarawak kembali menghasilkan minyak dari lapangan darat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Zon Utara di Miri yang dirasmikan oleh Premier Sarawak merangkap Yang Dipertua Parti PBB Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri ( Dr ) Abang Abdul�Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg , pada Ahad.
Datuk Amar Awang Tengah berkata, kekuatan Zon Utara turut disokong Bintulu sebagai pusat industri minyak dan gas serta aktiviti ekonomi rendah karbon, manakala Miri mempunyai kekuatan dalam sektor perkhidmatan dan pelancongan.
“Kedudukannya yang berjiran dengan Brunei Darussalam, Kalimantan, Sabah dan Labuan turut membuka peluang perdagangan rentas sempadan, selain pembangunan pertanian moden bagi meningkatkan keterjaminan makanan,” katanya.
Beliau menambah, usaha memanfaatkan potensi itu perlu disokong jaringan jalan raya, jambatan, bekalan air dan elektrik serta telekomunikasi bagi menghubungkan masyarakat dengan pasaran dan peluang ekonomi, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) untuk meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan rakyat.
Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua PBB Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Negeri Konvensyen Khas PBB Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Yang Dipertua PBB Sarawak merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk Negeri Konvensyen Khas PBB Sarawak dan Pengerusi Konvensyen Khas PBB Sarawak Zon Utara, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Naib Yang Dipertua Kanan PBB Sarawak merangkap Timbalan Pengerusi Konvensyen Khas PBB Sarawak Zon Utara, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom; Pengerusi Tetap PBB Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Agung PBB Sarawak, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Ketua Pergerakan Wanita PBB Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah dan Ketua Pergerakan Pemuda PBB Sarawak, Datuk Martin Ben.
Turut hadir, Naib-Naib Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi PBB Sarawak, Ahli-Ahli Majlis Tertinggi Pergerakan Wanita, Pemuda dan Belia PBB Sarawak, veteran parti, Ketua-Ketua 18 Cawangan PBB Zon Utara serta para peserta konvensyen.- EDISI UKAS