Kerajaan Sarawak Jamin Pendidikan Anak-Anak Mangsa Tragedi Long Lellang
MIRI: Hasrat seorang anak mangsa tragedi helikopter berhampiran Long Lellang untuk menjadi doktor dan meneruskan legasi pengorbanan ibunya mendapat perhatian Kerajaan Sarawak apabila kos pendidikannya akan ditanggung sepenuhnya sehingga mencapai cita-cita tersebut.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, komitmen itu turut merangkumi anak-anak petugas lain yang terkorban dalam tragedi berkenaan bagi memastikan masa depan dan pendidikan mereka terus terbela.
Menurut beliau, kehilangan nyawa tidak mungkin dapat dinilai dengan wang, namun Kerajaan Sarawak akan terus memberikan sokongan kepada keluarga mangsa, khususnya dalam menjamin masa depan anak-anak mereka.
“Saya terbaca hari ini seorang anak yang kehilangan ibunya, seorang jururawat bernama mendiang Debra. Anaknya mengatakan bahawa beliau akan belajar bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang doktor dan meneruskan pengorbanan ibunya.
“Kepada anaknya bernama Eodia, Kerajaan Sarawak akan menanggung pelajaran beliau hingga menjadi doktor. Begitu juga dengan anak-anak mangsa yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Zon Utara di Miri pada Ahad.
Premier Sarawak berkata, tekad Odia untuk meneruskan legasi ibunya turut memberikan semangat kepada beliau untuk mencari pendekatan alternatif dalam memastikan perkhidmatan kerajaan dapat terus disampaikan kepada rakyat, khususnya masyarakat di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Jelasnya, Kerajaan Sarawak akan terus memastikan masyarakat di kawasan pedalaman tidak terpinggir daripada arus pembangunan serta mempunyai akses kepada perkhidmatan penting.
Beliau turut menyifatkan tekad Odia untuk menjadi doktor sebagai cerminan semangat meneruskan legasi pengorbanan ibunya yang perlu diberikan sokongan sehingga cita-cita tersebut dapat direalisasikan.-EDISI UKAS