Lebih 80 Peratus Projek RTP Ngemah Siap Setiap Tahun
SIBU: Lebih 80 peratus projek di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah berjaya disiapkan setiap tahun, dengan kira-kira 200 projek dilaksanakan dalam tempoh lima tahun lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, pencapaian itu hasil pelaksanaan konsisten kira-kira 40 projek RTP setiap tahun menerusi peruntukan RM5 juta setahun.
Menurutnya, projek berkenaan memberi tumpuan kepada keperluan masyarakat setempat merangkumi pembangunan infrastruktur, pertanian, pendidikan dan pembangunan belia.
“Secara purata, 40 projek RTP dilaksanakan setiap tahun. Jadi, sepanjang tempoh lima tahun lalu, kira-kira 200 projek telah kita laksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Malam Penghargaan Media anjuran Pusat Khidmat Ngemah, di sini pada Sabtu.
Anyi berkata, pelaksanaan projek turut melibatkan kira-kira 260 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berdaftar di kawasan DUN Ngemah.
Bagaimanapun, katanya, masih terdapat sebilangan JKKK yang belum menerima peruntukan RTP, manakala kelewatan sebahagian projek berlaku antaranya disebabkan perubahan keperluan pihak penerima selepas projek diluluskan.
Dalam pada itu, sebanyak RM1.7 juta daripada peruntukan tahunan RM2 juta Projek Kecil Luar Bandar (MRP) disalurkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah, JKKK, persatuan dan gereja.
Katanya, baki RM300,000 diperuntukkan masing-masing RM200,000 bagi perbelanjaan Pusat Khidmat Ngemah dan RM100,000 untuk insentif pendidikan.
Insentif pendidikan itu melibatkan RM300 kepada pelajar Tingkatan Lima yang memperoleh tiga A dan ke atas dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), RM500 bagi pelajar peringkat diploma dan RM1,000 bagi pelajar peringkat ijazah.
Dalam tempoh lima tahun lalu, kira-kira 400 pelajar menerima manfaat daripada insentif berkenaan dengan lebih RM40,000 telah diagihkan kepada pelajar yang layak.
Selain pembangunan fizikal dan pendidikan, Pusat Khidmat Ngemah turut menyalurkan bantuan kebajikan RM200 kepada keluarga waris si mati, dengan purata 15 kematian direkodkan setiap bulan di kawasan berkenaan. -EDISI UKAS