Kerajaan Sarawak Secara Prinsip Setuju Wujud Miri Greater Agency, Pacu Pembangunan Pinggiran Miri
MIRI: Kerajaan Sarawak secara prinsip bersetuju dengan cadangan mewujudkan Miri Greater Agency bagi mempercepat pembangunan kawasan pinggiran dan luar bandar Miri yang belum diliputi agensi pembangunan sedia ada.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, cadangan itu antara lain melibatkan kawasan Lambir, Marudi serta sebahagian kawasan pedalaman yang belum berada di bawah agensi pembangunan lain.
Menurut beliau, pendekatan tersebut selaras dengan usaha Kerajaan Sarawak mewujudkan agensi pembangunan khusus bagi menyelaras dan memacu pembangunan secara lebih terancang mengikut keperluan sesuatu kawasan.
“Di Kuching umpamanya, di Serian dan pinggirannya kita ada agensi, Kuching Greater Agency. Maka mungkin kita bangunkan Miri Greater Agency untuk kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Zon Utara di Miri, pada Ahad.
Premier Sarawak menambah, penubuhan agensi berkenaan penting bagi memastikan kawasan di luar pusat bandar Miri tidak ketinggalan dalam arus pembangunan, selain membolehkan projek dan keperluan infrastruktur diselaras secara lebih sistematik.
Katanya, usaha memperluas pembangunan ke kawasan pinggiran merupakan sebahagian daripada agenda Kerajaan Sarawak untuk memastikan pertumbuhan ekonomi dan kemajuan negeri dapat dinikmati secara lebih menyeluruh oleh rakyat.
Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua PBB Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Negeri Konvensyen Khas PBB Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Yang Dipertua PBB Sarawak merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk Negeri Konvensyen Khas PBB Sarawak dan Pengerusi Konvensyen Khas PBB Sarawak Zon Utara, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Naib Yang Dipertua Kanan PBB Sarawak merangkap Timbalan Pengerusi Konvensyen Khas PBB Sarawak Zon Utara, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom; Pengerusi Tetap PBB Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Agung PBB Sarawak, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Ketua Pergerakan Wanita PBB Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah dan Ketua Pergerakan Pemuda PBB Sarawak, Datuk Martin Ben.
Turut hadir, Naib-Naib Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi PBB Sarawak, Ahli-Ahli Majlis Tertinggi Pergerakan Wanita, Pemuda dan Belia PBB Sarawak, veteran parti, Ketua-Ketua 18 Cawangan PBB Zon Utara serta para peserta konvensyen.-EDISI UKAS