KUCHING: Pengiktirafan terhadap hak dan kedudukan Sarawak serta Sabah perlu dilihat sebagai sebahagian daripada agenda nasional dalam memperkukuh struktur Persekutuan Malaysia, bukan sekadar isu yang melibatkan kepentingan kedua-dua negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menegaskan, pendekatan itu penting bagi memastikan semangat dan prinsip pembentukan Malaysia terus difahami serta diterjemahkan dalam hubungan antara Kerajaan Persekutuan, Sarawak dan Sabah.
“Saya amat berharap komitmen seperti ini akan membawa kepada kefahaman bahawa pengiktirafan hak-hak dan keistimewaan Sabah dan Sarawak adalah sebahagian daripada agenda nasional,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK)mdi sini pada Rabu.
Sambutan berkenaan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Hadir sama, Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Patinggi Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Patinggi Abang Zohari turut menyambut baik persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk menetapkan nisbah perwakilan Parlimen Sarawak dan Sabah kepada tidak kurang daripada satu pertiga, selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang telah menyatakan persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk menetapkan ratio perwakilan Parlimen Sarawak dan Sabah kepada tidak kurang daripada satu pertiga seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan IGC,” katanya.
Turut hadir, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Komunikasi merangkap Menteri Bertanggungjawab Peringkat Persekutuan Dato Seri Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Peringkat Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri-Menteri Kabinet Persekutuan, Sarawak dan Sabah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Persekutuan, Sarawak dan Sabah serta tetamu kenamaan yang lain. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Ameerul Syafiq Khir, Jaed Tepus & Muhammad Rais Sanusi