Konvoi Bermotosikal Meriahkan Sambutan Hari Malaysia Di Pulau Bruit
DARO: Sambutan Hari Malaysia 2026 di kawasan pesisir Daro dimeriahkan dengan Konvoi Bermotosikal dari Kampung Bruit ke Mupong yang menghimpunkan kira-kira 125 peserta pada Rabu.
Konvoi anjuran Pemuda PBB Cawangan Semop itu melibatkan kira-kira 70 buah motosikal dan bermula dari Dewan Kampung Bruit pada jam 7.30 pagi sebelum melalui beberapa kampung di sepanjang laluan Kampung Bruit hingga Mupong.
Program berkenaan mendapat sokongan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop melalui peruntukan sebanyak RM10,000 bagi membantu menjayakan penganjuran konvoi sempena sambutan Hari Malaysia.
Pelepasan konvoi disempurnakan oleh Pemanca Bujang bersama Penghulu dan Ketua-Ketua Kampung (KK) Kampung Bruit di Dewan Kampung Bruit.
Program turut diserikan dengan simbolik penyerahan Bendera Sarawak serta Bendera Malaysia kepada Penghulu, Ketua Kampung dan Tuai Rumah di setiap kampung bermula dari Kampung Tekajong hingga Mupong sebagai lambang semangat patriotisme serta perpaduan masyarakat sempena sambutan Hari Malaysia.
Konvoi melalui Kampung Tekajong, Penipah, Salah Kecil, Betanak, Penibong, Penuai, Kut, Saai dan Semop sebelum peserta dari Kelai, Sedi serta Sebako menyertai rombongan di Dataran Nunok, Kampung Semop.
Perjalanan diteruskan ke Bekakong dan Sedo sebelum rombongan menuju ke Mupong dan berkumpul di kawasan parkir Sekolah Kebangsaan (SK) Mupong.
Selain konvoi, program turut diserikan dengan kuiz sempena Hari Malaysia yang bertujuan menambah pengetahuan peserta mengenai sejarah, kenegaraan dan semangat perpaduan rakyat Malaysia.
Penganjuran konvoi berkenaan bukan sahaja menjadi wadah menyemarakkan sambutan Hari Malaysia, malah mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk kampung di sepanjang laluan serta menyemai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.-EDISI UKAS