PMX Umum RM1.5 Bilion Bayaran Interim Kepada Sarawak
KUCHING: Kerajaan Persekutuan mengumumkan bayaran interim sebanyak RM1.5 bilion kepada Sarawak atas semangat setiakawan, persahabatan dan semangat Malaysia sementara rundingan berkaitan hak negeri ini terus diperhalusi.
Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak, di samping komitmen kedua-dua pihak untuk meneruskan rundingan bagi menyelesaikan perkara berkaitan secara baik.
“Untuk Sarawak saya katakan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, walaupun kedudukan kewangan Sarawak kuat, tetapi semangat setiakawan, semangat persahabatan dan semangat Malaysia, untuk interim Sarawak saya umumkan RM1.5 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini pada Rabu.
Pengumuman itu menyusuli perbincangan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak berhubung pendekatan interim sementara rundingan mengenai formula serta perkara berkaitan hak Sarawak diteruskan.
Dato Seri Anwar sebelum ini memaklumkan Sarawak telah mengemukakan pandangan supaya satu formula yang lebih jelas diperkenalkan dengan mengambil kira kedudukan kewangan negara, kemampuan semasa serta kadar minimum dan maksimum yang boleh dipertimbangkan.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh keputusan Kerajaan Persekutuan menaikkan bayaran interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion sementara rundingan berkaitan hak negeri itu diteruskan. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Ameerul Syafiq Khir, Jaed Tepus & Muhammad Rais Sanusi