7,095 Pelajar Baharu IPTA Bakal Terima Manfaat Bantuan RM500 Tiket Penerbangan
KUCHING: Seramai 7,095 pelajar baharu institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) yang perlu menggunakan penerbangan domestik untuk memulakan pengajian bagi sesi September-Oktober tahun ini bakal menerima bantuan khas pembelian tiket penerbangan sebanyak RM500 secara ‘one-off’.
Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim berkata bantuan khas itu diputuskan hasil perbincangan antara Menteri Pengangkutan dan Menteri Pendidikan Tinggi bagi membantu meringankan kos perjalanan pelajar baharu yang perlu berulang-alik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Kerajaan memutuskan untuk memberikan bantuan khas pembelian tiket penerbangan secara ‘one-off’ sebanyak RM500 kepada setiap pelajar baharu institusi pengajian tinggi awam yang layak termasuk universiti awam, politeknik, kolej komuniti bagi sesi kemasukan September-Oktober tahun ini,” katanya.
Pengumuman itu dibuat ketika beliau menyampaikan ucapan pada Sambutan Hari Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini pada Rabu.
Menurut Dato Seri Anwar, bantuan tersebut dijangka memberi manfaat kepada pelajar yang perlu menggunakan penerbangan domestik bagi memulakan pengajian di institusi masing-masing.
“Ini akan memberi manfaat kepada 7,095 pelajar yang perlu menggunakan penerbangan domestik antara Semenanjung, Sabah-Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan untuk memulakan pengajian,” ujar beliau lagi. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Ameerul Syafiq Khir, Jaed Tepus & Muhammad Rais Sanusi