Kerajaan Persekutuan & Sarawak Setuju Tentukan Formula Perkongsian Hasil
KUCHING: Kerajaan Persekutuan dan Sarawak bersetuju untuk menentukan satu formula perkongsian hasil antara kedua-dua kerajaan sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 112(D) Perlembagaan Persekutuan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, persetujuan itu merupakan perkembangan penting dalam usaha memperkukuh hubungan Persekutuan-Sarawak berlandaskan hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak menghargai komitmen Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim yang terus memberi perhatian terhadap hak dan kepentingan Sarawak.
“Bagi pihak Kerajaan Sarawak saya juga ingin merakamkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan yang bersetuju untuk menentukan suatu formula bagi perkongsian hasil antara Kerajaan Pusat dan Sarawak seperti yang diperuntukan di bawah Perkara 112(D) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, komitmen tersebut perlu dilihat dalam konteks lebih luas untuk memastikan pembangunan negara dilaksanakan secara seimbang dan menyeluruh dengan mengambil kira potensi serta kepentingan semua wilayah, khususnya Sarawak dan Sabah.
Beliau menegaskan, pendekatan pembangunan yang memberi perhatian sewajarnya kepada setiap wilayah bukan sahaja penting dalam merancakkan kemajuan ekonomi, malah berupaya memperkukuh kesatuan rakyat Malaysia.
“Saya yakin dengan pendekatan mengambil kira kepentingan pembangunan semua wilayah secara menyeluruh yang lebih serius, kesatuan rakyat negara ini akan menjadi lebih utuh kerana mereka akan merasa dihormati, dihargai dan diberi perhatian yang selayaknya,” ujar beliau lagi.
Jelas beliau, persetujuan untuk menentukan formula perkongsian hasil itu mencerminkan kesediaan Kerajaan Persekutuan dan Sarawak untuk mencari pendekatan yang bersesuaian dalam melaksanakan hak Sarawak sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.-EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Ameerul Syafiq Khir, Jaed Tepus & Muhammad Rais Sanusi