Pelancongan Dalam Senarai Bersama, Sarawak Sedia Perluas Kolaborasi Dengan Kerajaan Persekutuan
KUCHING: Sarawak bersedia memperluas kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam memajukan sektor pelancongan susulan persetujuan untuk meletakkan bidang berkenaan dalam Senarai Bersama di bawah Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, langkah tersebut membuka ruang lebih luas kepada Kerajaan Persekutuan dan Sarawak untuk bekerjasama dalam memperkasa sektor pelancongan.
“Saya amat menghargai persetujuan Kerajaan Pusat untuk meletakkan bidang pelancongan dalam Senarai Bersama di bawah Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini pada Rabu.
Menurut beliau lagi, langkah berkenaan akan membolehkan pendekatan kolaborasi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak diperkukuh dalam membangunkan sektor pelancongan.
“Langkah ini akan membuka ruang untuk kolaborasi dan kerjasama yang lebih kukuh antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Sarawak untuk memajukan bidang pelancongan,” ujar beliau.
Datuk Patinggi Abang Zohari dalam pada itu menjelaskan bahawa pelancongan merupakan bidang baharu yang wujud selepas penubuhan Malaysia dan dikategorikan sebagai ‘residual subject’ di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Ujar beliau, perkembangan tersebut memberi peluang untuk mewujudkan bentuk kerjasama yang lebih tersusun antara kedua-dua peringkat kerajaan dalam mengembangkan industri pelancongan. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Ameerul Syafiq Khir, Jaed Tepus & Muhammad Rais Sanusi